Ekskavasi Tapak Monumen SB1P, SB1Q, SB1W Dan SB1X Di Kompleks Sungai Batu, Lembah Bujang, Kedah
Loading...
Date
2016-02
Authors
Yusof, Suhana
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Universiti Sains Malaysia
Abstract
Kajian arkeologi ini melibatkan empat tapak iaitu SB1P, SB1Q, SB1W dan
SB1X di Kompleks Sungai Batu, Lembah Bujang, Kedah. Kajian bermula daripada
tahun 2011 hingga 2012. Tujuan utama kajian ialah untuk mengenalpasti fungsi, usia
dan rupa bentuk monumen setiap tapak berdasarkan bukti struktur binaan yang masih
in-situ. Kajian telah menggunakan gabungan kaedah kerjalapangan (survei,
pembersihan kawasan dan penentuan titik datum, pemasangan tali grid dan pemetaan
tapak kajian, penamaan tapak dan petak dan proses ekskavasi) dan kerja makmal
(pentarikhan dan analisis kuatitatif) serta interpretasi. Hasil ekskavasi kesemua
empat tapak telah mendedahkan bangunan utama berbentuk segi empat, di samping
itu terdapatnya struktur lantai, tembok, koridor, laluan pejalan kaki dan bukti
berbumbung berdasarkan jumpaan atap genting dan pelapik tiang. Pentarikhan
dengan kaedah Rangsangan Pendar Kilau Optik (OSL) terhadap bata telah
memberikan tarikh tapak SB1P (kurun ke-3 Sebelum Masihi- kurun ke-3 Masihi),
SB1Q (kurun pertama Sebelum Masihi- ke-2 Masihi), SB1W (kurun ke-5 Sebelum
Masihi- kurun pertama Masihi) dan SB1X (kurun ke-2- ke-3 Masihi). Tarikh OSL ini
mencadangkan tarikh pembinaan setiap tapak manakala tarikh dengan kaedah
radiokarbon untuk tapak SB1P (kurun ke-5- ke-13 Masihi), SB1Q (kurun ke-3
Masihi- ke-17 Masihi), SB1W (kurun ke-7 Masihi- ke-13 Masihi) mencadangkan
tarikh dan aktiviti di setiap tapak berkenaan. Berdasarkan lokasi dan rupa bentuk
monumen mencadangkan keempat-empat tapak kajian berkemungkinan besar berfungsi sebagai pusat pentadbiran kepada jeti atau pelabuhan yang terletak di
timur. Namun, untuk tapak SB1P dijangka pernah berfungsi sebagai jeti di awal
pembinaannya kerana juga mendedahkan struktur lantai jeti. Maka, kajian ini telah
berjaya mendedahkan bukti rupa bentuk monumen terawal di Asia Tenggara (kurun
ke-5 Sebelum Masihi) yang berfungsi sebagai bangunan pentadbiran kepada jeti atau
pelabuhan.
Description
Keywords
Arkeologi