Analisis Seramik Dagangan Di Sabah Dan Sumbangannya Terhadap Data Perdagangan Maritim Awal Di Asia Tenggara (Abad Ke-10 Hingga Abad Ke-20 Masihi)
Loading...
Date
2016-09
Authors
Azman, Nurulnatasha
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Abstract
Bukti perdagangan awal seramik di Borneo adalah seawal Dinasti Tang (abad
ke-7 Masihi) dengan jumpaan seramik di Santubong, Sarawak. Namun demikian,
jumpaan seramik di Sabah yang terletak di Utara Borneo adalah seawal zaman
Dinasti Sung (abad ke-10 Masihi). Oleh yang demikian, hasil kajian ini akan cuba
menjawab isu tentang kemasukan seramik terawal di Sabah, taburannya, penempatan
awal, teknologi seramik dan kronologi perdagangan seramik. Dua kaedah analisis
telah digunakan iaitu analisis lapangan dan analisis saintifik. Analisis di lapangan
melibatkan analisis kuantitatif dan kualitatif. Analisis kuantitatif adalah untuk
mendapatkan data morfologi seramik tersebut manakala analisis kualitatif pula
adalah untuk mengenalpasti jenis seramik, negara asalnya, motif hias dan bentuk
seramik. Analisis saintifik turut dijalankan untuk menentukan mikrostruktur dan
komposisi kimia seramik dagangan di Sabah. Hasil analisis tersebut mendapati
bahawa seramik dagangan yang paling banyak dijumpai di tapak-tapak arkeologi di
Sabah adalah dari China iaitu Dinasti Sung (abad 10-13 Masihi), Dinasti Yuan (abad
13-14 Masihi), Dinasti Ming (abad 14-17 Masihi) dan Dinasti Ch’ing (abad 17- 20
Masihi). Di samping itu, seramik dari Asia Tenggara iaitu Vietnam (abad 14-16),
Thailand (abad 14-16), Khmer (abad 14-16) dan Eropah (abad 19-20) turut dijumpai.
Bagi mengetahui taburan seramik maka Sabah telah dibahagikan kepada empat
bahagian iaitu Barat, Utara, Timur dan Pendalaman. Di bahagian Barat dan Utara,
seramik China dari Dinasti Ming yang terbanyak. Sementara di bahagian Timur,
seramik yang terbanyak adalah seramik China dari Dinasti Sung. Jumpaan kargo
kapal karam dari Dinasti Sung ditemui di Utara Sabah. Berdasarkan kepada seramik
ini maka berkemungkinan terdapat penempatan awal di bahagian Barat, Utara, Timur
dan Pendalaman Sabah. Analisis saintifik dengan menggunakan Mikroskop Elektron
Pengimbas (SEM-EDX), menunjukkan bahawa kebanyakan seramik yang
mempunyai kecacatan dan kurang sempurna pembuatannya adalah dari zaman
Dinasti Ming. Ini mungkin disebabkan oleh perdagangan seramik yang pesat pada
masa ini dan banyak seramik yang dihasilkan bagi memenuhi keperluan perdagangan
masa ini. Hal yang demikian menyebabkan kualiti seramik tidak dapat dikawal
dengan baik. Di samping itu, terdapat perbezaan komposisi kimia pada seramik dari
Eropah yang mempunyai unsur titanium dan unsur ini tidak didapati pada seramik
dari negara yang lain. Oleh yang demikian, berdasarkan kepada jumpaan seramik ini
menunjukkan bahawa Sabah terlibat dalam perdagangan seawal abad ke-10 Masihi
atau lebih awal lagi dan mencapai kemuncaknya pada abad ke-15 Masihi iaitu
semasa Dinasti Ming. Pada masa ini berlaku kemasukan seramik dari Asia Tenggara
seperti Vietnam dan Khmer. Walau bagaimanapun, pada abad ke-20 Masihi seramik
dari Eropah telah muncul sementara seramik dari China dan Asia Tenggara mula
berkurangan. Maka dapat disimpulkan bahawa perairan Sabah dari abad ke-10
hingga 20 Masihi merupakan laluan utama maritim awal di Asia Tenggara.
Description
Keywords
Kemasukan seramik terawal di Sabah, taburannya, penempatan awal, teknologi seramik , dan kronologi perdagangan seramik.