Publication:
Pemodelan anjal penyambung penembusan tertebat (insulation piercing connector, ipc) merujuk kepada ciri rekabentuk dengan bantuan perisian i-deas

Thumbnail Image
Date
2002-03-01
Authors
Mak, Chee Fei
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Research Projects
Organizational Units
Journal Issue
Abstract
Projek ini berkenaan dengan pembangunan suatu aksesori Kabel Aerial Tertebat (ABC), iaitu Penyambung Penembusan Tertebat (Insulation Piercing Connector, IPC) dengan menggunakan pendekatan kejuruteraan selari (Concurrent Engineering). Pembangunan produk melibatkan penentusahan fungsi dan rekabentuk semula melalui anlisis kejuruteraan seperti analisis tegasan, rekabentuk ekstatika, kebolehbuatan, kekuatan, dan simulasi suntikan. Penyelidikan dijalankan dengan bantuan perisian IDEAS yang berupaya menghasilkan model IPC yang anjal dengan ciri-ciri rekabentuk yang dikehendaki. Masalah utama dalam projek ini ialah proses penghasilan model yang anjal dalam bentuk di mana komputer boleh faham dan mengeluarkan keluaran yang dikehendaki oleh pereka. Pemodelan anjal bermaksud hasil rekabentuk dapat diubahkan dengan mudah dan tidak memerlukan banyak penglibatan manusia. Yakni, manusia hanya memberi sedikit masukan yang dikehendaki sahaja dan sistem pemodelan anjal akan melakukan keseluruhan proses penghasilan rekabentuk yang baru. Masalah seterusnya ialah mengenalpasti faktor-faktor yang menyebabkan pemodelan anjal diperlukan. Faktor ini boleh merupakan permintaan daripada pelbagai pihak seperti pengguna, pengilang dan kerajaan. Setiap faktor ini akan memberi kesan yang berlainan kepada rekabentuk. Kajian secara teliti terhadap setiap faktor perlu dilakukan untuk mengelakkan sebarang kelemahan dalam rekabentuk. Dalam usaha mengatasi masalah penghasilan model yang anjal, semua parameter yang terlibat dalam rekabentuk akan dihubungkaitkan antara satu sama lain. Antara kesemua parameter tersebut, satu daripada mereka akan dijadikan parameter genting. Parameter genting adalah pembolehubah utama yang menyebabkan rekabentuk berubah sehingga mencapai sesuatu matlamat seperti kekuatan yang tinggi, kebolehfungsian yang tinggi dan kebolehbuatan yang baik. Didapati bahawa parameter genting adalah dimensi saiz bulatan yang diperuntukkan untuk saiz kabel yang hendak disambung pada pengapit atas dan pengapit bawah. Semua parameter yang lain akan dihubungkaitkan dengan parameter ini. Persamaan (equation) dan kekangan biasa seperti selari, serenjang dan match dalam I-DEAS akan digunakan untuk mencapainya. Manakala dalam usaha mengenalpasti faktor-faktor yang menyebabkan pemodelan anjal diperlukan, analisis secara mendalam merujuk kepada maklumatmaklumat spesifikasi IPC yang sedia ada dalam pasaran dibuat. Pengumpulan maklumat yang lengkap dan jelas amat diperlukan untuk mengatasi masalah ini. Justeru itu, kejuruteraan selari telah memainkan peranan penting dalam situasi ini. Terdapat dua jenis IPC yang sedia ada dalam pasaran, iaitu jenis satu bolt dan jenis dua bolt (Rujuk rajah pada lampiran). Pemadanan dan peralatan yang terlibat dalam IPC juga ditunjukkan pada lampiran. IPC mempunyai banyak bahagian yang berlainan untuk menjadikan ia sebagai satu penyambung kabel yang lengkap. Bahagian tersebut ialah pengapit atas, pengapit bawah, plat sentuh, sendi tertebat, sesendal tekanan, dan bolt. Tetapi, projek ini hanya melibatkan pemodelan anjal ke atas pengapit atas dan pengapit bawah bagi IPC satu bolt saja. Hasil keluar projek ini ialah model pengapit atas dan pengapit bawah yang anjal dengan parameter genting, dimensi saiz bulatan yang diperuntukkan untuk saiz kabel yang hendak disambung pada pengapit atas dan pengapit bawah. Apabila parameter ini diubah, parameter yang lain turut mengikuti perubahan ini untuk mencapai pemadanan dimensi yang baik. Nilai dan bagaimana parameter berubah ditentukan oleh persamaan dan kekangan yang ditetapkan. Parameter genting ini ditentukan selepas mempertimbangkan faktor-faktor yang menyebabkan pemodelan anjal diperlukan, iaitu kekuatan IPC, kebolehfungsian IPC dan kebolehbuatan IPC. Ketiga-tiga faktor ini adalah faktor yang paling lazim mengakibatkan rekabentuk IPC berubah. Justeru itu, penimbangan atau trade-off faktor-faktor ini perlu dilakukan untuk mencapai rekabentuk yang optimum. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit kekecewaan dalam projek ini. Pemodelan anjal dalam projek ini (kaedah pemodelan anjal satu bahagian demi satu bahagian) bukanlah pemodelan anjal sepenuhnya. Penukaran nilai parameter genting yang sama sebanyak dua kali perlu dilakukan kepada setiap bahagian pengapit atas dan pengapit bawah untuk mendapat pemadanan parameter antara dua bahagian ini.
Description
Keywords
Citation