Perubahan Seni Bina Dalam Konteks Budaya Merantau Dan Kesannya Terhadap Rumah Tradisional Negeri Sembilan, Malaysia

Loading...
Thumbnail Image
Date
2019-12
Authors
Mohamad Hanif Abdul Waha
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Universiti Sains Malaysia
Abstract
Alam Minangkabau merangkumi wilayah tengah Sumatera Barat yang dikenali sebagai darek hingga ke rantau Timur Minangkabau di Riau dan Negeri Sembilan. Pemekaran nagari Minangkabau disebabkan oleh proses merantau menyaksikan berlakunya variasi seni bina Minangkabau termasuklah Rumah Lentik Kampar (RLK) di Riau, Indonesia dan Rumah Tradisional Negeri Sembilan (RTNS) di Negeri Sembilan, Malaysia. Tesis ini mengkaji tentang pengaruh budaya merantau terhadap seni bina RTNS di daerah Rembau, Negeri Sembilan. Pembentukan seni bina RTNS di Negeri Sembilan dan Rumah Adat Minangkabau (RAM) di Sumatera berlaku disebabkan perubahan secara evolusi yang selari dengan perkembangan kebudayaan Minangkabau. Ia membentuk kesamaan dan perbezaan pada seni bina rumah masyarakat Minangkabau melalui adat matrilineal, kelarasan atau hukum adat dan persekitaran luhak. Namun fenomena kesamaan dan perbezaan elemen-elemen seni bina di antara RTNS dengan RAM tidak dirungkai. Tambahan pula, akibat kurangnya kefahaman masyarakat tentang perkaitan kedua-dua seni bina, maka telah berlaku konflik pemilikan dan identiti di antara Malaysia dengan Indonesia apabila ruang pameran Malaysia di Shanghai World Expo 2010 mengadaptasikan analogi seni bina Minangkabau, Indonesia. Matlamat kajian ini adalah untuk mengkaji ciri-ciri budaya merantau yang dibawa oleh masyarakat Minangkabau dari Sumatera Barat, Indonesia ke Negeri Sembilan, Malaysia dengan menganalisa prinsip pembinaan serta menilai teori yang membentuk variasi seni bina pada RTNS dan RAM. Untuk itu, kajian kualitatif berasaskan empat metodologi iaitu fenomenologi, etnografi, kajian kes dan teori asas dijalankan. Pendekatan fenomenologi dianalisis menerusi kaedah perkaitan. Etnografi dilakukan menerusi kaedah kajian rintis di lapangan di daerah Rembau, Negeri Sembilan, di Kampar, Riau dan di Minangkabau, Sumatera Barat. Kaedah kajian kes pula melibatkan penelitian sebanyak dua buah RTNS Rembau, dua buah RLK Riau dan dua buah RAM Sumatera Barat. Teori asas dibandingkan dengan teknik analisis triangulasi data dari ketiga-tiga dapatan kajian di atas. Kajian mendapati pembentukan seni bina RTNS dipengaruhi oleh budaya merantau yang dibawa oleh perantau Minangkabau sejak kurun ke-12. Ciri-ciri budaya merantau yang bersifat evolusi, kaedah perhubungan dan berfikiran inovatif telah menyerap unsur-unsur pembentukan seni bina RAM iaitu adat matrilineal, kelarasan hukum adat dan persekitaran luhak atau wilayah pada seni bina RTNS. Dapatan kajian telah menyambungkan susur jalur pembentukan seni bina RTNS yang berasal dari wilayah darek, Minangkabau di Sumatera Barat melalui kawasan perantaraan di Kampar, Riau. Ia berjaya menghubung perkaitan kesamaan dan perbezaan yang wujud di antara RTNS dan RAM di samping menyelesaikan pertikaian pemilikan dan identiti keduadua seni bina. Kajian juga telah menyenaraikan prinsip-prinsip pembinaan RTNS bagi rujukan pada masa hadapan.
Description
Keywords
Architecture
Citation