Pembentukan Sistem Geodemografi Di Pulau Pinang
Loading...
Date
2013-12
Authors
Ismail, Kamarul
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Universiti Sains Malaysia
Abstract
Pangkalan data banci penduduk dan perumahan negara merekodkan maklumat semua
orang yang tinggal disesebuah kawasan. Jumlah data yang besar dan dikutip secara
berterusan menyebabkan maklumat-maklumat yang terdapat dalam pangkalan data ini
sukar untuk dimanfaatkan sepenuhnya. Maklumat-maklumat ini digunakan oleh pihak
kerajaan dalam merangka dasar, pembahagian sumber dan merupakan petunjuk penting
kepada kemajuan sosioekonomi sesebuah negara. Oleh itu, kajian pembentukan sistem
geodemografi yang mempunyai keupayaan untuk meringkaskan data-data ini dalam
bentuk yang lebih mudah difahami telah dilaksanakan. Objektif-objektif kajian yang
lain termasuklah untuk menguji kesesuaian penggunaan data banci, menilai kaedah
pemilihan dan penyeragaman data dan membentuk serta menguji sistem geodemografi
yang dibangunkan. Peringkat-peringkat metodologi kajian iaitu peringkat penyediaan
data, penentuan jumlah kluster, pembentukan profil dan melabelkan kluster yang
digunakan dalam penyelidikan ini adalah berasaskan kepada proses pembentukan sistem
OAC (Output Area Classifications) yang dibuat oleh Jabatan Perangkaan Kebangsaan
(Office for National Statistics) United Kingdom. Penggunaan kaedah perlombongan
data dan analisis statistik yang lain seperti analisis pekali korelasi, analisis komponen
utama (PCA), analisis sisihan piawai dan analisis kluster menggunakan algoritma kmeans
telah berjaya membentuk sistem geodemografi di Pulau Pinang yang
mengandungi sejumlah 6 kluster utama dan 19 sub kluster bagi mewakili kumpulan
penduduk berbeza. Kluster pada hierarki pertama dilabelkan dengan nama seperti
Pekerja kolar biru (K1), Peniaga kecil sederhana dan penghuni kota (K2), Professional
pinggir bandar (K3), Golongan berada dan berkerjaya (K4), Kelas pertengahan dan
pekerja industri (K5) serta kluster Luar bandar dan perkampungan tradisi (K6).
Manakala kluster pada hierarki kedua antaranya dilabelkan dengan nama-nama seperti
Peniaga berkeluarga, Keluarga muda dan penghuni kota, Pekerja perkhidmatan dan
separa professional, Professional muda pinggir kota, Generasi Y berteknologi serta
kluster Berpendidikan tinggi dan sederhana yang memberi gambaran umum ciri-ciri
penduduk di kawasan tersebut.
Description
Keywords
Geodemografi , Pulau Pinang