Preliminary Metabolite Profiling And Pharmacological Evaluation Of Melastoma Malabathricum Var Alba Linn Extract

Loading...
Thumbnail Image
Date
2015-06
Authors
M.Karupiah, Sundram
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Abstract
Melastoma malabathricum var Alba (MM) yang dikenali sebagai senduduk putih oleh penduduk tempatan, adalah dari spesis Melastoma malabathricum yang jarang ditemui. Ia digunakan secara tradisional untuk merawat beberapa penyakit. Bahan mentah MM telah dinilai dengan menggunakan parameter kawalan kualiti termasuk mikroskopi, makroskopi, gravimetri, kromatografi cecair prestasi tinggi fasa terbalik (RP-HPLC) dan analisis infra merah (FTIR). Analisis kimometrik menggunakan analisis komponen utama telah dijalankan dengan menggunakan data FTIR bagi membangunkan analisis cap jari Melastoma malabathricum yang diklasifikasikan berdasarkan lokasi geografi yang berbeza. Kuantifikasi metabolit primer iaitu glikosaponin, protein dan polisakarida telah dijalankan bagi ekstrak pelarut berbeza MM. Kandungan semua metabolit primer didapati lebih tinggi iaitu sebanyak masing-masing 19.40, 27.58 dan 0.0049% dalam ekstrak metanol berbanding dengan ekstrak pelarut lain. Kapasiti antioksidan dan potensi perencatan pertumbuhan mikrob ekstrak pelarut yang berbeza dan penanda kimia MM telah dinilai menggunakan beberapa kaedah yang biasa digunakan. Ekstrak metanol MM menunjukkan aktiviti antioksidan yang lebih tinggi dan juga menunjukkan nilai kepekatan perencatan yang terendah iaitu sebanyak 3.125 mg/mL terhadap semua strain bakteria yang diuji berbanding pelarut ekstrak MM yang lain. Satu kaedah kromatografi cecair berprestasi tinggi fasa terbalik (RP-HPLC) dengan pengesan DAD yang mudah, cepat dan boleh diulangi telah dibangunkan dan disahkan untuk penentuan sebatian penanda kimia dalam ekstrak daun Melastoma malabathricum. Kaedah yang dibangunkan ini menunjukkan kebolehulangan dan pemulihan yang memuaskan dan kaedah ini telah berjaya digunakan dalam penentuan sebatian penanda kimia dalam daun Melastoma malabathricum yang diambil dari lokasi geografi yang berbeza di Malaysia. Profil cap jari kimia Melastoma malabathricum dari sampel yang diambil dari lokasi geografi yang berbeza telah dihasilkan melalui kaedah HPLC ini. Aktiviti analgesik dan pengenduran otot MM telah dinilai pada tiga kepekatan yang berbeza iaitu 50, 100 dan 200 mg/kg dengan menggunakan kaedah renjatan ekor dan ujian rotarod. Keputusan kajian menunjukkan bahawa MM memberikan aktiviti analgesik dan pengenduran otot dengan cara pergantungan kepada dos pengambilan, yang menunjukkan MM memberikan aktiviti sistem saraf pusat yang ketara. Penilaian anti-obesiti MM dalam diet yang berlemak tinggi menunjukkan bahawa MM cenderung untuk mengurangkan berat badan, lipid darah dan lemak badan yang merupakan indeks pengumpulan lebihan lemak dalam badan. Dalam profil lipid darah pula, ekstrak MM boleh mengurangkan jumlah kolesterol, LDL - kolesterol dan jumlah lipid secara signifikan iaitu sebanyak masing-masing 15.94%, 21.74% dan 15.46%. Pengiraan trombosit pada tikus yang dirawat dengan ekstrak metanol MM telah dinilai dan dibandingkan dengan kumpulan kawalan yang hanya menerima salin. Kiraan platlet menunjukkan peningkatan yang signifikan pada jam kedua iaitu peningkatan sebanyak 51.64% bagi kumpulan yang dirawat dengan MM berbanding kiraan garis dasar. Hasil keputusan ini menunjukkan terdapat peningkatan yang ketara dalam kiraan platlet selepas diberikan ekstrak metanol MM. Keputusan ini membuktikan bahawa MM boleh digunakan untuk merawat penyakit ‘thrombocytopenic’, iaitu suatu keadaan kekurangan bilangan platelet. Aktiviti penyembuhan luka oleh ekstrak metanol MM dikaji dengan menggunakan model pemotongan dan hirisan luka pada tikus Wistar jantan. Dalam model pemotongan dan hirisan luka, peratus penutupan luka dan kekuatan tegangan tisu penyembuhan didapati lebih tinggi dalam kumpulan dirawat dengan MM berbanding dengan kumpulan kawalan. Peningkatan yang ketara dalam kepekatan kolagen diperhatikan dalam kumpulan yang dirawat dengan MM dan keputusan ini boleh dibandingkan dengan kumpulan yang dirawat dengan 0.5% neomycin. Hasil kajian ini mengesahkan dan menyokong dakwaan etnofarmakologi yang MM mempunyai kesan penyembuhan luka yang ketara.
Description
Keywords
Metabolite Profiling , Pharmacological Evaluation
Citation