Pengaruh Pulau Haba Bandar Terhadap Keselesaan Terma Dalaman Bangunan Untuk Pekerja Di Pulau Pinang
Loading...
Date
2016-03
Authors
Hanafiah, Nur Aili Hanim
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Universiti Sains Malaysia
Abstract
Penyelidikan mengenai pengaruh pulau haba bandar terhadap keselesaan terma dalaman bangunan untuk pekerja telah dilakukan di kawasan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP). Penyelidikan ini mempunyai tiga objektif. Objektif yang pertama adalah mengkaji kewujudan pola dan ciri suhu serta fenomena pulau haba bandar di kawasan Majlis Bandaraya Pulau Pinang, objektif kedua adalah mengenapasti kesan cuaca persekitaran terhadap keselesaan terma pekerja dalam bangunan dan objektif ketiga adalah menentukan kaedah/langkah-langkah yang sesuai untuk menguruskan fenomena pulau haba bandar. Kawasan kajian meliputi kawasan MBPP iaitu seluruh kawasan pulau negeri Pulau Pinang. Kaedah penyelidikan ini melibatkan penggunaan data sekunder yang tersedia dan perolehan data primer. Data primer dilakukan melalui empat kaedah utama bagi menjawab semua objektif penyelidikan yang telah ditentukan. Empat kaedah utama tersebut adalah kaedah pengedaran borang soalselidik kepada pekerja dalam bangunan, kaedah pengukuran suhu di dalam dan luar bangunan organisasi, kaedah ujikaji suhu dalam bilik (room experiment) melibatkan individu terpilih serta kaedah pencerapan suhu di lapangan bagi mengenalpasti kewujudan pulau haba bandar. Hasil yang diperolehi menunjukkan bahawa pulau haba bandar telah wujud di kawasan MBPP hasil imej terma yang diperolehi dari data penderiaan jauh ARSM pada tahun 2000 dan 2009. Suhu minimum yang dikesan pada tahun 2000 di kawasan MBPP adalah 15.2 °C dan suhu maksimum pada tahun tersebut adalah 28.3 °C. Manakala pada tahun 2009, suhu minimum yang dikesan di kawasan MBPP pula adalah 19.7 °C manakala suhu maksimum adalah 29.6 °C. Hasil pencerapan suhu di stesen persampelan terpilih pada tahun 2013 turut menunjukkan kewujudan pulau haba bandar pada waktu-waktu yang berlainan. Hasil terhadap penyelidikan keselesaan terma pekerja dalam bangunan pula menunjukkan bahawa secara keseluruhan, waktu pagi mempunyai suhu yang paling rendah serta memberi keselesaan terma yang maksimum kepada pekerja dalam bangunan. Manakala waktu tengahari adalah waktu yang paling tidak selesa serta panas dan menunjukkan suhu maksimum sehingga 35.1 °C. Hasil tersebut didapati melalui persepsi pekerja dalam bangunan, dimana responden terdiri daripada lelaki dan perempuan serta pelbagai peringkat umur dan bangsa. Kajian juga menunjukkan status kesihatan responden majoritinya adalah berkeadaan baik dan memuaskan serta mampu menilai keselesaan terma mereka dengan jelas. Responden juga turut menunjukkan bahawa mereka amat memerlukan peralatan bantuan seperti penghawa dingin atau kipas angin untuk memperolehi keselesaan terma secara maksimum pada keempat-empat waktu iaitu waktu pagi, tengahari, petang dan malam. Penyelidikan terhadap suhu selesa pula menunjukkan bahawa seseorang individu amat berpuashati pada tahap suhu penghawa dingin 24 °C. Rumusan keseluruhan penyelidikan ini menunjukkan bahawa seseorang individu manusia memerlukan suhu yang sederhana untuk selesa.
Description
Keywords
Cuaca persekitaran , Pekerja dalam bangunan