Kaedah Pengurusan Konflik Organisasi Dari Perspektif Islam Di Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor
Loading...
Date
2017-08
Authors
Hassan, Roslan
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Universiti Sains Malaysia
Abstract
Terdapat pelbagai Kaedah Pengurusan Konflik Lazim (KPKL) digunakan untuk menyelesaikan konflik. Antara kaedah yang digunakan ialah seperti kaedah pengelakan, penyesuaian, berkompromi, persaingan dan permuafakatan. Namun yang demikian, masih timbul konflik dan pelbagai isu yang tidak dapat diselesaikan. Antara isu konflik tersebut ialah isu rampasan minuman keras, cadangan pembukaan pusat-pusat hiburan dan judi, pertentangan penduduk setinggan di Kampung Rimba Jaya, pemindahan kuil dari tempat asal di Seksyen 19 ke Seksyen 23 dan isu kutipan sampah. Hal ini menjelaskan ada pengurusan konflik yang digunakan, tetapi masih belum menyelesaikan konflik secara menyeluruh. Tambahan pula, menggunakan kaedah lazim sebagai penyelesaian konflik dalam organisasi yang sebahagian besarnya adalah Muslim, tidakkah tindakan itu kurang sesuai? Secara khususnya, kajian ini mempunyai tiga objektif. Pertama, mengenal pasti kaedah pengurusan konflik organisasi dari perspektif Islam (KPKOPI). Kedua, menganalisis kaedah pengurusan konflik (KPK) Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berdasarkan KPKOPI. Ketiga, mencadangkan bentuk-bentuk KPKOPI yang sesuai digunakan dalam MBSA. Bagi mencapai ketiga-tiga objektif kajian tersebut, kajian ini menggunakan reka bentuk kajian deskriptif dengan melibatkan dua fasa. Fasa pertama tertumpu kepada pengumpulan data sekunder yang menggunakan kajian dokumen. Data-data dikumpul dianalisis menggunakan kaedah analisis kandungan bagi menjawab objektif pertama. Hasilnya, dibina satu kerangka konseptual KPKOPI yang terdiri daripada sumber, prinsip dan jenis. Pertama, KPKOPI bersumberkan al-
Qur’an, Hadith dan Sirah Nabi Muhammad SAW. Kedua, terdapat empat prinsip KPKOPI iaitu ‘ubudiyyat (sifat penghambaan), tauhid, berpegang teguh kepada al-Qur’an dan Hadith dan kuat jiwa. Ketiga, jenis-jenis KPKOPI melalui tazkiyat al-nafs, musyawarat (mesyuarat), ketaatan kepada pemimpin, membuang sifat ’asabiyyat dan kaedah negosiasi cara Islam (tahaluf al-siyasi). Fasa kedua pula tertumpu kepada pengumpulan data primer menerusi instrumen sesi temu bual mendalam yang melibatkan sembilan informan terpilih bagi menjawab objektif kajian. Maklumat temu bual dianalisis melalui kaedah analisis kandungan dengan menggunakan perisian Atlas.ti versi 8.0.29 dan Microsoft Excel 2013. Hasilnya fasa ini telah menjawab kelima-lima persoalan kajian dan tercapailah objektif-objektif bagi kajian ini. Hal ini disebabkan KPKOPI yang sesuai untuk MBSA kesemuanya mempunyai kaitan dengan kelima-lima jenis pengurusan konflik organisasi Islam tersebut. Natijahnya ia merupakan pandangan asas yang dikemukakan oleh para sarjana Islam yang mengkaji pengurusan konflik Islam. Secara rumusannya, KPKOPI boleh berfungsi sebagai kaedah menyelesaikan konflik bagi menggantikan kaedah pengurusan konflik lazim di MBSA dan di organisasi-organisasi yang lain.
Description
Keywords
Kaedah Pengurusan Konflik Lazim , digunakan untuk menyelesaikan konflik.