Kajian Kapasiti Dan Keperluan Ke Arah Memperkukuh Penglibatan Malaysia Di Antartika

Loading...
Thumbnail Image
Date
2016-09
Authors
Ahmad Shabudin, Ahmad Firdaus
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Abstract
Dasar luar Malaysia tentang Antartika telah berjaya memperjuangkan akses yang saksama dalam usaha mempromosikan keamanan dan sains sejak 1982. Walau bagaimanapun, terdapat isu-isu di peringkat kebangsaan yang memerlukan perhatian mendalam bagi memperkukuhkan penglibatan negara pada masa hadapan. Tanpa analisis dan perancangan yang baik, kontekstual perjanjian antarabangsa dalam sistem dasar luar dan pengukuhan pembangunan program sains Antartik negara boleh menjadi satu tugas yang mencabar. Kajian ini bertujuan untuk menilai kapasiti dan keperluan dasar penglibatan Malaysia ke atas Antartika dengan mengetengahkan tiga objektif utama (i) memetakan evolusi penglibatan Malaysia ke atas Antartika dalam konteks dasar luar negara, sains dan perlindungan alam sekitar, (ii) menganalisis peranan dan sinergi pihak-pihak berkepentingan terhadap penglibatan Malaysia ke atas Antartika, dan (iii) mencadangkan rangka kerja institusi bagi memperkukuhkan agenda penglibatan Malaysia ke atas Antartika pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.. Beberapa kaedah kajian telah digunakan, khususnya analisis kandungan, temu bual secara formal dan tidak formal dan pemerhatian ikut serta yang dijalankan semasa menghadiri beberapa program-program yang berkaitan topik kajian. Dapatan kajian menunjukkan bahawa perkembangan penglibatan Malaysia di Antartika menjurus ke arah mengintegrasikan peranan dasar negara dalam hal ehwal luar negara, sains dan alam sekitar. Namun, Malaysia memerlukan kerangka dasar yang jelas dalam penglibatan ini, dan penggubalan Dasar Kutub Kebangsaan merupakan hala tuju penting dalam pengukuhan penglibatan negara di kawasan kutub. Selain itu, Malaysia perlu memperkukuhkan peranan aktor-aktor utama dan berpotensi dalam mengintegrasikan penglibatan negara dalam konteks tadbir urus, penyelidikan dan perlindungan alam sekitar di kawasan Antartik. Universiti adalah aktor utama dalam usaha mensinergikan penglibatan pihak-pihak berkepentingan terutamanya bagi mengukuhkan Program Penyelidikan Antartika Malaysia (MARP) dan seterusnya sebagai mekanisme bagi memacu peranan sains kutub dalam memberi sumbangan signifikan kepada Ekonomi Berasaskan Pengetahuan. Akhir sekali, Malaysia memerlukan rangka kerja institusi yang merangkumi kerangka dasar penglibatan dan mekanisme tadbir urus yang berkesan sebagai teras kepada pelan strategik penglibatan negara di kawasan kutub, terutamanya di Antartika dan di Laut Selatan.
Description
Keywords
Menilai kapasiti dan keperluan dasar penglibatan Malaysia , ke atas Antartika
Citation