Kesan Kesejahteraan, Sokongan Organisasi Dan Kepimpinan Pengagihan Instruksional Terhadap Sikap Optimistik Akademik Guru Dan Kesedaran Organisasi Sekolah

Loading...
Thumbnail Image
Date
2016-07
Authors
Ying, Yen Yen
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Abstract
Kajian ini bertujuan untuk mengkaji kesan kepimpinan pengagihan instruksional pengetua terhadap sikap optimistik akademik guru dan kesedaran organisasi sekolah serta mengkaji kesan kesejahteraan organisasi sekolah sebagai mediator dan tanggapan sokongan organisasi sebagai moderator dalam hubungan antara variabel tersebut. Kajian ini juga bertujuan mengenal pasti tahap antara variabel kajian. Data bagi kajian keratan rentas ini dikutip daripada 1043 orang guru dari 210 buah sekolah menengah biasa di negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis menggunakan teknik persampelan secara rawak berstrata berkadaran. Data diperoleh melalui soal selidik dwibahasa yang terbahagi kepada enam bahagian iaitu demografi responden, sikap optimistik akademik guru, kesedaran organisasi sekolah, kepimpinan pengagihan instruksional, kesejahteraan organisasi sekolah dan tanggapan sokongan organisasi. Data yang dikutip dianalisis berdasarkan unit analisis sekolah dan menggunakan perisian SPSS versi 18.0. Pengujian hipotesis dilakukan dengan prosedur regresi linear, regresi berganda dan regresi berganda berhierarki. Dapatan kajian menunjukkan bahawa kepimpinan pengagihan instruksional pengetua, kesejahteraan organisasi sekolah dan sikap optimistik akademik guru berada pada tahap tinggi. Manakala tanggapan sokongan organisasi dan kesedaran organisasi sekolah pula berada pada tahap sederhana. Seterusnya, dapatan kajian menunjukkan bahawa pengagihan kepemimpinan instruksional ialah peramal yang signifikan terhadap sikap optimistik akademik guru dan kesedaran organisasi sekolah. Kesan kepimpinan pengagihan instruksional lebih kuat terhadap kesedaran organisasi sekolah berbanding dengan sikap optimistik akademik guru. Ujian kesan pengantara mendapati bahawa kesejahteraan organisasi sekolah berfungsi sebagai mediator penuh dalam hubungan antara kepimpinan pengagihan instruksional dengan sikap optimistik akademik guru dan kesedaran organisasi sekolah. Seterusnya, dapatan kajian menunjukkan tanggapan sokongan organisasi gagal menjadi moderator terhadap kesan kepimpinan pengagihan instruksional dengan kesejahteraan organisasi sekolah tetapi berfungsi sebagai moderator antara pengagihan kepemimpinan instruksional dengan beberapa dimensi kesejahteraan organisasi sekolah iaitu integriti sekolah, konsiderasi, pengaruh pengetua dan semangat. Kajian ini dapat digunakan oleh pihak pengurusan sebagai rujukan dalam merancang program bagi meningkatkan kepimpinan pengagihan instruksional, kesejahteraan organisasi sekolah dan tanggapan sokongan organisasi yang mampu membawa peningkatan dalam sikap optimistik akademik guru dan kesedaran organisasi sekolah. Akhirnya, cadangan berdasarkan dapatan kajian dan cadangan kajian lanjutan turut dibincangkan.
Description
Keywords
Kesan kesejahteraan organisasi sekolah sebagai mediator dan tanggapan sokongan organisasi , sebagai moderator dalam hubungan antara variabel tersebut.
Citation