Amalan Kewartawanan Alam Sekitar Di Indonesia Dan Malaysia: Kajian Kes Terhadap Akhbar Kompas Dan Utusan Malaysia
Loading...
Date
2017-08
Authors
Mihardja, Eli Jamilah
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Universiti Sains Malaysia
Abstract
Media adalah antara sumber utama pengetahuan bagi masyarakat memperolehi maklumat mengenai alam sekitar dan isu berkaitannya. Keadaan alam sekitar pada masa kini yang semakin kritikal memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak termasuk media untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dalam mengekalkan kualiti alam sekitar. Media berperanan penting dalam menghasilkan maklumat sebagai sumber pengetahuan dan pembentukan kesedaran kepada masyarakat terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar bagi memastikan kelestarian kehidupan dan penghidupan pada masa hadapan. Kewartawanan alam sekitar di dalam media adalah antara aktiviti pembinaan pengetahuan bagi masyarakat. Wartawan alam sekitar menghasilkan maklumat yang melalui pelbagai proses khusus di dalam proses penghasilan berita. Kajian ini melihat kepada amalan kewartawanan di akhbar Kompas (Indonesia) dan Utusan Malaysia (Malaysia) bagi mengetahui, mengenal pasti, mengkaji serta menganalisis amalan kewartawanan melalui corak liputan berita, proses mengumpul dan menghasilkan berita, serta faktor yang mempengaruhinya. Perbandingan amalan di kedua-dua negara dilakukan. Kajian ini berpandukan Teori Pembinaan Realiti secara Sosial untuk melihat pembinaan pengetahuan mengenai alam sekitar yang dilakukan wartawan melalui proses penghasilan berita di media. Metodologi kajian adalah kualitatif deskriptif dengan kajian pendahuluan menggunakan data kuantitatif. Kaedah analisis kandungan berita, analisis wacana, pemerhatian ikut serta dalam bilik berita dan temu bual dengan wartawan dan editor Kompas dan Utusan Malaysia digunakan untuk memahami amalan kewartawanan alam sekitar di Indonesia dan Malaysia. Keputusan analisis kandungan berita alam sekitar tahun 2012 mendapati liputan berita alam sekitar tidak mendapat keutamaan dalam penghasilan berita. Analisis wacana mengenai isu perlombongan (Kompas) dan Lynas (Utusan Malaysia) menunjukkan bahwa strategi wacana yang dilakukan media terbabit merujuk kepada ideologi mengenai alam sekitar yang tertentu. Analisis pemerhatian dan temu bual yang dijalankan pada tahun 2013 mendapati bahawa proses pengeluaran berita alam sekitar dipengaruhi oleh rutin, organisasi berita, pemilik media, dan faktor luaran media. Kesimpulannya, amalan kewartawanan alam sekitar dalam Kompas dan Utusan Malaysia dikawal terutamanya oleh faktor organisasi yang meneruskan kepentingan pemilik media. Manakala liputan berita alam sekitar menjadi realiti binaan yang dibentuk oleh proses terbabit. Pada akhirnya, wartawan alam sekitar melaporkan maklumat mengenai alam sekitar yang mempunyai kepentingan media.
Description
Keywords
Kewartawanan alam sekitar di dalam media , adalah antara aktiviti pembinaan pengetahuan bagi masyarakat