Pemikiran Politik Dan Pembinaan Negara Bangsa Dalam Novel Terpilih Shahnon Ahmad Dan Putu Wijaya: Satu Kajian Bandingan

Loading...
Thumbnail Image
Date
2009
Authors
Mohd Ali, Azhar
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Universiti Sains Malaysia
Abstract
Kajian ini meneliti dua belas novel terpilih karya Shahnon Ahmad dan Putu Wijaya. Novel-novel terpilih daripada Shahnon Ahmad ialah Menteri, Tunggul-Tunggul Gerigis, Patriarch, Sutan Baginda, Shit dan Muntah. Manakala novel-novel daripada Putu Wijaya ialah Bila Malam Bertambah Malam, Pabrik, Nyali, Perang, Kroco dan Byarpet. Dengan menggunakan pendekatan tematik dalam kesusasteraan bandingan, kajian ini meneliti pemikiran politik dan pembinaan negara bangsa di dalam novel-novel berkenaan. Lima konsep pemikiran politik moden daripada Tudor Jones telah digunakan. Lima konsep tersebut ialah kedaulatan, tanggungjawab politik, kebebasan, hak-hak manusia dan kesamaan. Setiap konsep itu ada beberapa pecahan. Pandangan beberapa orang pemikir politik terdahulu seperti Niccolo Machiavelli, Thomas Hobbes, John Locke, John Stuart Mill dan Jean Jacques Rousseau dijadikan model rujukan bagi Jones untuk menjelaskan konsep-konsep pemikiran politik itu. Kajian ini juga membincangkan pemikiran politik Islam daripada tokoh Islam, iaitu al-Maududi, al-Mawardi dan Sayyid Quthb. Konsep-konsep pemikiran politik ini dihubungkan dengan unsur-unsur pembinaan negara bangsa. Kajian mendapati novel-novel yang diteliti membincangkan konsep kedaulatan, tanggungjawab politik, kebebasan, hak-hak manusia dan kesamaan. Walau bagaimanapun, tidak semua pecahan daripada konsep-konsep itu dibincangkan. Semua konsep yang dibincangkan mempunyai fungsi penting dalam menjelaskan unsur-unsur pembinaan negara bangsa seperti kecintaan, pengorbanan, perpaduan kepada bangsa dan negara. Walau bagaimanapun terdapat perbezaan gaya penulisan di antara novel yang ditulis oleh Shahnon dan Putu Wijaya. Novel-novel Shahnon lebih berani, kritis dan kreatif dalam menyampaikan pemikiran politik berbanding dengan Putu Wijaya. Hal ini kerana ikilim politik di Malaysia pada ketika itu telah membenarkan Shahnon berkarya secara lebih terbuka kerana pada pandangan pemerintah, karya-karya Shahnon tidak memberi sebarang kesan ataupun menggugat kestabilan politik pemerintah berbanding di Indonesia pada waktu yang sama yang masih mengamalkan dasar tertutup dan mengancam. Pengaruh Islam dalam pemikiran politik dalam novel-novel Shahnon jelas berbanding dengan novel-novel Putu Wijaya. Kecenderungan pemikiran politik Islam disebabkan perjuangan Shahnon terhadap sastera yang berunsur Islam dan hal ini tidak ada pada Putu Wijaya.
Description
Keywords
Pemikiran politik dan pembinaan negara bangsa , dalam novel terpilih shahnon ahmad dan putu wijaya
Citation