Penilaian Kualiti Perkhidmatan Pusat Kesihatan Masyarakat (PUSKESMAS) Di Wilayah Sumatera Utara, Indonesia
Loading...
Date
2010-04
Authors
Santosa, Heru
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Universiti Sains Malaysia
Abstract
Pusat Kesihatan Masyarakat (PUSKESMAS) merupakan kemudahan perkhidmatan kesihatan utama dalam pembangunan kesihatan masyarakat di Indonesia dan mempunyai peranan yang besar dalam mencapai Visi Indonesia Sihat 2010. Penyelidikan ini dilakukan di wilayah Sumatera Utara bertujuan untuk menilai kualiti perkhidmatan kesihatan PUSKESMAS; mengenal pasti pengaruh faktor masukan, proses dan persekitaran terhadap kualiti perkhidmatan PUSKESMAS; mengkaji perbezaan kualiti perkhidmatan kesihatan antara PUSKESMAS bandar dan desa; mengkaji permintaan dan keperluan masyarakat terhadap perkhidmatan kesihatan PUSKESMAS; dan membina instrumen penilaian kualiti perkhidmatan kesihatan PUSKESMAS untuk masa hadapan. Responden kajian ini ialah ketua isi rumah yang telah mendapat rawatan perubatan di PUSKESMAS. Seramai 200 orang terpilih mewakili empat kluster kajian yang telah dikenal pasti iaitu Sibolga, Binjai, Karo dan Simalungun. Penilaian kualiti perkhidmatan PUSKESMAS ini adalah melalui kaedah SERQUAL manakala pengutipan data dilakukan secara kuantitatif dan kualitatif menggunakan kaedah pemerhatian langsung, temu bual mendalam dan perbincangan kumpulan berfokus.
Analisis kuantitatif mendapati purata skor persepsi kualiti adalah 3.79 pada skala 1 hingga 5. Seterusnya, kualiti perkhidmatan kesihatan PUSKESMAS terhadap semua dimensi secara amnya menunjukkan skor melebihi 3. Hal ini menunjukkan kualiti perkhidmatan kesihatan PUSKESMAS, daripada pelbagai dimensi penilaian, berada pada tahap yang secara relatifnya baik. Apabila disusun mengikut purata skor, maka dimensi keresponsifan dan kebolehpercayaan menghasilkan purata skor persepsi 3.85; seterusnya dimensi empati menunjukkan purata skor persepsi 3.81; dimensi jaminan pula memperlihatkan purata skor persepsi 3.79; dan dimensi bukti nyata hanya menunjukkan purata skor persepsi paling rendah iaitu 3.64. Faktor-faktor yang mempengaruhi tahap kualiti perkhidmatan kesihatan PUSKESMAS pula terdiri daripada faktor masukan, proses, dan persekitaran bagi mencapai Visi Indonesia Sihat 2010 melalui pelaksanaan Projek Kesihatan Provinsi-II Sumatera Utara. Seterusnya, analisis ujian perbezaan min (compare means analysis), mendapati bahawa kualiti perkhidmatan kesihatan PUSKESMAS di kawasan bandar adalah lebih baik berbanding di kawasan luar bandar. Walaupun perbezaan ini secara relatifnya adalah kecil tetapi ternyata sangat bermakna. Permintaan masyarakat terhadap peningkatan perkhidmatan PUSKESMAS pada masa hadapan pula adalah berkaitan perluasan bangunan fizikal PUSKESMAS, penambahan jenis perkhidmatan kesihatan, peningkatan proses perkhidmatan dan penambahan aspek-aspek penyokong lain seperti makmal, ubat-ubatan dan masa perkhidmatan. Akhir sekali, walaupun instrumen penilaian kualiti perkhidmatan kesihatan PUSKESMAS (yang dikenali sebagai “penilaian prestasi kerja PUSKESMAS”) telah sedia ada, namun secara konseptualnya dimensi-dimensi yang digunakan lebih bersifat dalaman (internal-dimension) berbanding aspek luaran (external-dimension), contohnya persepsi pesakit. Oleh yang demikian, diharapkan instrumen penilaian kualiti perkhidmatan kesihatan yang menggabungkan dimensi bukti nyata, kebolehpercayaan, tindakbalas, jaminan, dan kesefahaman, sebagaimana dalam penyelidikan ini, dapat dijadikan instrumen penilaian kualiti perkhidmatan PUSKESMAS yang lebih berkesan secara berkala di wilayah Sumatera Utara.
Description
Keywords
Menilai kualiti perkhidmatan Pusat kesihatan masyarakat , di wilayah sumatera utara, indonesia