Kecekapan Dalaman Program Akademik Diploma Kejuruteraan Elektrik Politeknik Indonesia
Loading...
Date
2011-05
Authors
Purba, Miduk
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Universiti Sains Malaysia
Abstract
Politeknik awam di Indonesia berhadapan dengan isu perkembangan ilmu, teknologi dan penggunaannya, dan keperluan masyarakat. Isu-isu ini yang dilabel sebagai kecekapan dalaman didapati telah bertindak mempengaruhi dan mencabar pembangunan politeknik di seluruh negeri di Indonesia, sama ada politeknik awam atau politeknik swasta. Sehubungan dengan itu, kajian ini bertujuan untuk meninjau kecekapan dalaman program akademik diploma kejuruteraan elektrik politeknik Indonesia, dari aspek: kurikulum, sistem peperiksaan, kemudahan pengajaran, dan pengajaran dan pembelajaran dari segi pelaksanaannya. Dua kaedah pengumpulan data telah digunakan. Kaedah tinjauan menggunakan soal selidik telah digunakan bagi memperoleh data daripada pensyarah dan pelajar. Data kualitatif kajian ini telah diperoleh di Politeknik Negeri Medan Indonesia dengan menggunakan teknik temu bual dan analisis dokumen bagi mendapatkan maklumat terperinci tentang kecekapan dalaman. Dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat perubahan kurikulum dari masa sebelum dan selepas Undang Undang Sistem Pendidikan Nasional. Semakan kurikulum berdasarkan kecekapan didapati sesuai dengan Keputusan Menteri Pendidikan Nasional nombor 232/U/2000 dan 045/U/2002. Perubahan yang mendasari pengembangan kurikulum tersebut sesuai dengan persyaratan kerja yang semakin dinamis di dunia global. Dapatan juga menunjukkan bahawa pada peringkat awal, pengembangan kurikulum berpusat di Pendidikan Tinggi, manakala bagi kurikulum berdasarkan kecekapan pula autonomi diberikan kepada perguruan tinggi sebagai pelaksana program pendidikan. Dalam pembelajaran kurikulum, didapati wujud perubahan daripada rancangan pemasangan elektrik dan pekerjaan pemasangan elektrik kepada rancangan pemasangan automasi elektrik dan pekerjaan pemasangan automasi elektrik. Seterusnya, dapatan aspek-aspek kecekapan dalaman menurut pandangan pensyarah seperti sistem peperiksaan dan kemudahan pengajaran telah memenuhi kecekapan dalaman, manakala kurikulum dan pengajaran dan pembelajaran masih pada tahap kecekapan dalaman sederhana. Selain itu, dari segi komitmen, pensyarah dalam melaksanakan tugas dan kewajipan mereka sebagai tenaga pengajar (faktor peribadi dan kemampuan) telah memenuhi tugas dan kewajipan tersebut. Sementara itu, dapatan turut menunjukkan bahawa aspek-aspek kecekapan dalaman menurut pandangan pelajar seperti kurikulum, sistem peperiksaan, kemudahan pengajaran, dan pengajaran dan pembelajaran telah mencapai tahap kecekapan dalaman sederhana. Seterusnya kajian ini mendapati bahawa: Pertama, reka bentuk akhir kurikulum politeknik telah diorganisasi dalam model subjek tertentu secara edaran subjek dan unitnya per semester. Reka bentuk kurikulum belum memperlihatkan keutuhan suatu kurikulum secara menyeluruh. Kedua, sistem peperiksaan yang sedia ada telah dilaksanakan oleh pensyarah, namun tingkat objektivitinya boleh diragukan. Ketiga, secara keseluruhan kemudahan pengajaran dan pembelajaran masih terhad, khususnya di bengkel kerja dan makmal, penggunaannya pula masih terbatas dalam lingkungan menyediakan kemudahan asas. Keempat, pelaksanaan kurikulum diwarnai oleh dua kaedah pembelajaran yang menonjol, iaitu kaedah berterusan dan berasingan yang didominasi oleh pensyarah semasa pengajaran dan pembelajaran. Pengembangan kecekapan pula dilaksanakan dalam tiga tahap, iaitu tahap pembelajaran kemampuan dasar, kemampuan aplikatif, dan inovasi. Kesimpulannya, kecekapan dalaman bagi aspek kurikulum, sistem peperiksaan, kemudahan pengajaran, dan pengajaran dan pembelajaran bagi program akademik diploma kejuruteraan elektrik politeknik Indonesia masih pada tahap sederhana sahaja. Sehubungan itu, kajian ini turut membincangkan implikasi cadangan untuk menambah baik aspek-aspek kecekapan dalaman tersebut.
Description
Keywords
Kecekapan dalaman program akademik , diploma kejuruteraan elektrik politeknik Indonesia