Asas-Asas Hisbat Dalam Kitab Al-Hisbat Fi Al-Islam: Kajian Di Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Kelantan

Loading...
Thumbnail Image
Date
2015-07
Authors
Ibrahim, Azrin
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Abstract
Hisbat merupakan satu disiplin ilmu yang sangat penting dalam Islam. Pensyariatannya adalah berteraskan seruan al-amr bi al-ma‘ruf wa al-nahy ‘an almunkar. Penghasilan kajian dan karya hisbat dilihat sentiasa berkembang dan banyak dilakukan. Hal ini menunjukkan hisbat merupakan satu disiplin ilmu yang penting dan mendapat perhatian dalam kalangan ilmuwan Islam. Tetapi, apakah sebenarnya yang menjadi asas-asas hisbat terutamanya menurut Ibn Taymiyyat menerusi kitabnya al-Hisbat fi al-Islam? Mengapakah ia penting untuk diamalkan? Di Malaysia, banyak institusi yang berperanan untuk menegakkan perkara-perkara ma‘ruf dan memantau aktiviti masyarakat supaya tidak melakukan kemungkaran yang mencakupi pelbagai aspek dan bidang. Dalam aspek perbandaran misalnya, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Kelantan berfungsi untuk memainkan peranan tersebut. Uniknya, kelihatan MPKB-BRI ini mempunyai kekuatan dan kelainan yang tersendiri berbanding Majlis Perbandaran di negeri-negeri lain. MPKB-BRI memainkan peranan yang besar dalam mengawal hal ehwal perbandaran dan mengajak masyarakat ke arah kebaikan di samping menjadi tulang belakang dalam mendukung matlamat bandar Kota Bharu yang diisytiharkan sebagai Bandar Raya Islam dengan slogan “Membangun Bersama Islam”. Oleh yang demikian, timbul persoalan. Apakah asas-asas al-amr bi al-ma‘ruf wa al-nahy ‘an al-munkar yang dilakukan di MPKB-BRI? Kajian ini cuba menjawab persoalan ini melalui tiga objektif. Pertama, mengenal pasti asas-asas hisbat dalam kitab al-Hisbat fi al-Islam; kedua, mengenal pasti dan menganalisis asas-asas hisbat di MPKB-BRI berdasarkan kitab al-Hisbat fi al-Islam; dan ketiga, merumuskan asas-asas hisbat di MPKB-BRI berdasarkan kitab al-Hisbat fi al-Islam. Kesemua objektif ini dicapai menerusi kaedah pengumpulan data sekunder, data sumber utama dan data primer. Kesemua data ini pula dianalisis menggunakan kaedah analisis kandungan. Dapatan daripada analisis ini membawa kepada rumusan bahawa terdapat beberapa perkara yang menjadi asas-asas hisbat dalam kitab al-Hisbat fi al-Islam. Akhirnya, kajian ini mencadangkan perlunya lebih pemahaman, penghayatan dan pengamalan hisbat yang bersifat holistik, efisyen dan bersepadu agar matlamat hakiki hisbat dapat dicapai dan permasalahan yang wujud khususnya di MPKB-BRI dan umumnya di institusi-institusi pembangunan lain dapat diminimumkan.
Description
Keywords
Asas-Asas Hisbat , Kitab Al-Hisbat Fi Al-Islam
Citation