Kaedah Bacaan Huruf Dan Kaedah Bacaan USM Dalam Penguasaan Membaca Bahasa Melayu Kanak-Kanak Disleksia
Loading...
Date
2015-08
Authors
Basir, Noriha
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Abstract
Kajian ini bertujuan untuk menganalisis Kaedah Bacaan Huruf (KBH) dan Kaedah Bacaan Universiti Sains Malaysia (KBUSM) dalam penguasaan kemahiran membaca bahasa Melayu kanak-kanak disleksia. Proses-proses fonologi yang berlaku dalam penyebutan suku kata dan perkataan bahasa Melayu berdasarkan Kaedah Bacaan Huruf (KBH) dan Kaedah Bacaan Universiti Sains Malaysia (KBUSM) dianalisis. Analisis ini berdasarkan ujian-ujian penguasaan kemahiran membaca bahasa Melayu dalam kalangan kanak-kanak disleksia. Kajian ini memanfaatkan 5 subjek murid Tahun 2 kelas disleksia di Sekolah Kebangsaan Bukit Minyak Pulau Pinang. Kaedah pengumpulan data dilaksanakan melalui ujian membaca iaitu Pra Ujian Membaca (PUM) dalam Kaedah Bacaan Huruf (KBH) dan Pasca Ujian Membaca Kaedah Bacaan Universiti Sains Malaysia (PAUMKBUSM) dalam Kaedah Bacaan Universiti Sains Malaysia (KBUSM). Analisis kajian memanfaatkan Pendekatan Sistem Bacaan Universiti Sains Malaysia oleh Tajul Aripin et. al (2005), Teori Kata Fonologi Bahasa Melayu oleh Tajul Aripin (2000), Pendekatan Strata Penguasaan Membaca bahasa Melayu oleh Tajul Aripin (2012), Struktur Suku Kata Bahasa Melayu (K)V(K) oleh Tajul Aripin (2000) berasaskan Teori Generatif Penyukuan (KV) Clements dan Keysher (1983), Teori Autosegmental oleh Goldsmith (1976) dan Pendekatan Rumus Penyukuan Kata Bahasa Melayu oleh Zaharani (2006). Pendekatan dan teori yang dimanfaatkan bertujuan untuk menganalisis data agar lebih jelas dan berpada. Masalah utama yang
dikenal pasti ialah kesukaran kanak-kanak disleksia dalam membunyikan suku kata terbuka, suku kata tertutup, bergugusan huruf konsonan dan berurutan huruf vokal berdasarkan Kaedah Bacaan Huruf. Berdasarkan analisis ini, beberapa proses-proses fonologi dikenal pasti, antaranya ialah proses pengguguran konsonan, pengguguran vokal, penyisipan vokal, penyisipan konsonan dan pengguguran gugusan huruf konsonan. Pendekatan Rumus Penyukuan Kata Bahasa Melayu oleh Zaharani (2006) juga telah berjaya menghuraikan pembinaan penyebutan perkataan bahasa Melayu secara Kaedah Bacaan Huruf (KBH) dan Kaedah Bacaan Universiti Sains Malaysia (KBUSM). Pembinaan suku kata bahasa Melayu berdasarkan Kaedah Bacaan Huruf seharusnya dimulai dengan rumus pembinaan nukleus, pembinaan onset dan pembinaan koda. Manakala pembinaan suku kata bahasa Melayu berdasarkan Kaedah Bacaan Universiti Sains Malaysia (KBUSM) dimulai dengan rumus pembinaan nukleus, rumus pembinaan koda dan rumus pembinaan onset. Keberkesanan dan kerelevanan Kaedah Bacaan Universiti Sains Malaysia (KBUSM) terhadap penguasaan membaca bahasa Melayu terbukti berjaya kerana representasi fonetik yang dihasilkan adalah sinkronis dengan representasi mental. Kesinkronisasian ini adalah disebabkan oleh Kaedah Bacaan Universiti Sains Malaysia (KBUSM) mematuhi teori dan hukum fonologi bahasa Melayu.
Description
Keywords
Kaedah Bacaan , Kanak-Kanak Disleksia