Pelancongan Pulau Dan Pembangunan Sosioekonomi Pengusaha Tempatan
Loading...
Date
2017-08
Authors
Md Sharif, Norhafiza
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Universiti Sains Malaysia
Abstract
Pembangunan pelancongan di pulau-pulau kecil sering dikekang oleh masalah dan cabaran kerana saiznya yang kecil, sumber bahan mentah dan sumber tenaga kerja yang terhad, pengasingan sosial, serta terdedah kepada bencana alam. Kelemahan-kelemahan ini memberi kesan terhadap sosioekonomi pengusaha pelancongan serta persekitaran destinasi pelancongan terbabit. Strategi ke arah memperkasa komuniti tempatan dalam bidang keusahawanan pelancongan serta penilaian ke atas kesan yang berlaku dilihat sebagai langkah yang bijak bagi mengatasi masalah sosioekonomi yang dihadapi oleh pengusaha pelancongan di kawasan pulau yang terlibat. Oleh yang demikian, kajian yang dijalankan ini bertujuan untuk menganalisa profil perusahaan dan penglibatan pengusaha tempatan dalam bidang keusahawanan pelancongan, menganalisa impak ekonomi dan sosial yang diterima oleh pengusaha tempatan dalam pembangunan sektor pelancongan, menilai sokongan pengusaha tempatan terhadap pembangunan pelancongan serta menilai hubungan antara impak ekonomi dan sosial dengan sokongan pengusaha terhadap pembangunan sektor pelancongan di Pulau Perhentian, Pulau Redang dan Pulau Tioman. Kajian ini menggunakan kaedah kuantitatif melibatkan responden yang terdiri daripada 330 orang pengusaha tempatan yang terlibat dalam bidang keusahawanan pelancongan dengan menggunakan prosedur pensampelan jenis bertujuan dan bola salji. Analisis yang digunakan dalam kajian ini ialah taburan kekerapan, peratusan, min, taburan silang, khi kuasa dua, analisis faktor, ujian kebolehpercayaan, korelasi dan regresi pelbagai. Hasil utama kajian ini menunjukkan majoriti pengusaha tempatan menjalankan perusahaan secara kecil-kecilan disebabkan kekangan modal dan kewangan, pemasaran, pengurusan perniagaan dan infrastruktur. Faktor utama yang mendorong penglibatan pengusaha tempatan dalam sektor pelancongan adalah untuk memperoleh pendapatan yang lumayan, persekitaran pekerjaan yang lebih selesa serta minat. Hasil kajian juga menunjukkan impak ekonomi dan sosial mempunyai hubungan dengan sokongan pengusaha terhadap sektor pelancongan. Manakala profil demografi iaitu jantina, umur, pendapatan bulanan dan tahap pendididikan tidak mempunyai hubungan yang signifikan dengan sokongan terhadap sektor pelancongan. Dari segi impak ekonomi, dapatan kajian ini menunjukkan bahawa industri pelancongan di pulau terbabit berupaya menyediakan peluang pekerjaan, membantu menjana pendapatan, meningkatkan kualiti hidup serta menyediakan peluang keusahawanan kepada komuniti tempatan. Di samping itu, impak negatif yang dirasai oleh penduduk tempatan termasuklah kenaikan harga tanah, harga barangan dan peningkatan kos hidup. Dari segi impak sosial, industri pelancongan di pulau terbabit menyediakan kemudahan untuk mendapatkan akses dan perhubungan, mempelbagaikan budaya serta menaikkan imej komuniti setempat. Manakala impak negatif sosial termasuklah berlakunya perubahan gaya hidup atau budaya komuniti, penyerapan budaya barat, budaya tradisi komuniti kian pupus dan komuniti mudah terpengaruh dengan budaya pelancong yang datang. Secara keseluruhannya, kajian ini membuktikan bahawa sektor pelancongan pulau mampu menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi komuniti yang terlibat dan kerana itu ia turut mempengaruhi sokongan mereka terhadap pembangunan sektor pelancongan di pulau terbabit. Ini menunjukkan bahawa penglibatan komuniti dalam bidang keusahawanan pelancongan dapat menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi yang lebih baik ke atas komuniti serta berupaya menjadi pemangkin untuk mencapai pembangunan pelancongan lestari.
Description
Keywords
Penglibatan pengusaha tempatan , dalam bidang keusahawanan pelancongan