Pengklonan Dan Pengekspresan Gen 24.1 Kda Yang Spesifik Dan Antigenik Bagi Campylobacter jejuni
Loading...
Date
2008-04
Authors
Amir Musa, Azni
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Universiti Sains Malaysia
Abstract
Campylobacter jejuni adalah spesis enteropatogen yang paling utama di dalam
keluarga Campylobacter dan merupakan salah satu agen penting yang menyebabkan
cirit birit pada manusia di seluruh dunia. Walaupun jangkitan bakteria ini boleh
dipulihkan tanpa rawatan, ia sering kali dikaitkan dengan komplikasi yang lebih
rumit seperti sindrom Guillain-Barre. Akibat daripada masalah teknikal yang wujud
bagi kaedah konvensional yang sedia ada termasuk kekurangan sensitiviti, mahal,
melibatkan proses kerja yang cerewet, memakan masa yang panjang dan jumlah
pemencilan yang amat rendah; satu ujian yang pantas, spesifik dan mudah amat
diperlukan.
Di dalam kajian yang terdahulu, satu protein natif yang spesifik terhadap C. jejuni
yang beratnya 24.1 kDa, telah dikenalpasti dan merupakan calon yang sesuai untuk
membangunkan ujian pantas berasaskan protein. Untuk menggunakan protein ini
bagi pembangunan ujian pantas berasaskan protein, ia perlu ditulenkan dalam
kuantiti yang banyak. Oleh kerana penghasilan protein natif adalah rumit, mahal dan
mengambil masa yang lama, ia perlu dihasilkan secara rekombinan. Melalui kaedah
ini, proses penghasilan dan penulenan protein sasaran menjadi lebih mudah dan
ekonomik.
Di dalam kajian ini, gen yang mengkodkan protein ini telah diklonkan dan
diekspresikan di dalam sistem E. coli dan penulenan dilakukan dengan menggunakan
sistem ”Ni-NTA affinity chromatography”. Ketulenan, antigenisiti dan spesifisiti
protein rekombinan yang telah dihasilkan ini ditentukan melalui kaedah blot Western
dengan menggunakan serum pesakit yang dijangkiti Campylobacter, jangkitan
enterik lain dan serum daripada individu yang sihat.
Kesesuaian protein rekombinan seterusnya diuji dengan menjalankan ujian titik EIA
yang mengambil masa 3 jam. Daripada keputusan awal kajian ini, ujian titik EIA
menunjukkan sensitiviti sebanyak 100% dan spesifisiti 97% untuk mengesan IgA
terhadap C. jejuni di dalam serum pesakit yang digunakan. Ini menandakan protein
rekombinan yang diekspresikan ini merupakan calon yang sesuai di dalam
penghasilan ujian alternatif untuk mengesan kehadiran antibodi terhadap jangkitan C.
jejuni.
Description
Keywords
Pengklonan dan pengekspresan gen 24.1 kda yang spesifik , dan antigenik bagi campylobacter jejuni