Pembinaan Modul Berasaskan Pendekatan Projek Untuk Meningkatkan Kemahiran Berkomunikasi Murid Tadika

Loading...
Thumbnail Image
Date
2015-02
Authors
ABDUL RAHMAN, NOOR MIZA
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Abstract
Kajian ini bertujuan untuk membina sebuah modul pengajaran sebagai panduan guru prasekolah untuk melaksanakan pendekatan projek. Pembinaan modul berkenaan berfokuskan pemberian bimbingan guru menjalankan Pendekatan Projek untuk menggalakkan beberapa kemahiran berkomunikasi murid prasekolah dengan merujuk Model Pendekatan Projek yang dipelopori oleh Katz dan Chard (2000), Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (2010) dan Model Pengajaran ASSURE (1996). Modul tersebut dinamakan Modul PProKom dihasilkan untuk menggalas tanggungjawab bagi menyelesaikan masalah kelemahan dan kekurangan modul, guru tidak faham cara mengendalikan Pendekatan Projek dan beberapa masalah penguasaan kemahiran berkomunikasi dalam kalangan murid prasekolah. Kajian ini dijalankan secara kualitatif melibatkan reka bentuk kajian kes ke atas dua Tadika Islam Negeri Pulau Pinang. Pemerhatian, temu bual dan analisis dokumen menjadi kaedah utama untuk mengumpul data kajian. Beberapa teori pengajaran dan pembelajaran, Model Pengajaran ASSURE dan proses penilaian menggunakan teknik ubah suaian Delphi telah digabungkan untuk membina prototaip Modul PProKom yang berkualiti. Modul PProKom didapati memiliki ciri-ciri kebolehgunaan yang bersifat praktikal iaitu mudah difahami, jelas, bermaklumat, berfaedah dan meyakinkan pengguna. Dapatan kajian menunjukkan bahawa penggunaan Modul PProKom membantu guru mengaplikasi Pendekatan Projek dengan berkesan. Dapatan kajian turut menunjukkan kesan positif terhadap pengetahuan pedagogi guru prasekolah dan uniknya sifat Pendekatan Projek ialah xv peluang yang tersedia bagi proses pembelajaran secara aktif. Guru dapat memantapkan amalan pedagogi berpusatkan murid serta menggalakkan murid berinteraksi secara positif. Guru juga telah menguasai kemahiran menyoal, membimbing, menggunakan teknologi, mengurus aktiviti murid serta melibatkan ibu bapa dan komuniti melalui aktiviti pendekatan projek. Hasil kajian juga menunjukkan bahawa pengaplikasian Pendekatan Projek dapat menggalakkan murid menguasai kemahiran berkomunikasi seperti melibatkan diri secara aktif dalam kumpulan, bekerjasama, saling membantu ketika meneroka untuk mendapatkan maklumat, mengikut peraturan, yakin dan berani untuk mendemonstrasikan sesuatu projek secara berkesan. Keputusan kajian ini menunjukkan murid telah menguasai beberapa kemahiran berkomunikasi yang diuji, iaitu i) BM2.2.5 menyoal dengan menggunakan sebutan yang betul dengan bimbingan, ii) BM2.2.6 mengemukakan soalan yang sesuai dan mudah difahami, iii) BM2.2.7 menjawab soalan dengan ayat yang mudah dan sesuai, iv) BM2.4.1 menceritakan perkara yang didengar dengan menggunakan ayat yang mudah dan v) BM2.5.1 main peranan mengikut situasi. Aktiviti Pendekatan Projek yang disediakan berjaya menarik perhatian murid melibatkan diri secara aktif menerusi aktiviti pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna. Kajian ini mencadangkan bahawa pengintegrasian pendekatan projek dengan kemahiran berkomunikasi secara modular memberi faedah secara optimum kepada guru dan murid prasekolah. Guru memperoleh pengetahuan baharu untuk menggarapkan elemen pembelajaran berpusatkan murid melalui Pendekatan Projek Modul PProKom diharapkan dapat memainkan peranan sebagai bahan sumber Pendekatan Projek yang berguna kepada warga pendidik.
Description
Keywords
Pembinaan Modul Berasaskan Pendekatan Projek , Untuk Meningkatkan Kemahiran Berkomunikasi Murid Tadika
Citation