Kesan Penggunaan Modul Teach-Talk-Tool (TTT) Versi Bahasa Melayu Terhadap Pengetahuan Serta Penggunaan Strategi Guru Berkomunikasi Dengan Murid Autisme

Loading...
Thumbnail Image
Date
2017-08
Authors
Ghazali, Eni Eliza
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Universiti Sains Malaysia
Abstract
Kekurangan guru pendidikan khas di Malaysia yang berpengetahuan tentang autisme dan strategi berkomunikasi dengan murid autisme sangat membimbangkan. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk mengkaji keberkesanan Modul Teach-Talk-Tool (TTT) yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu untuk meningkatkan pengetahuan serta penggunaan strategi guru berkomunikasi dengan murid autisme. Kajian yang berbentuk kualitatif dan disokong oleh kajian kuantitatif ini melibatkan enam orang responden yang merupakan guru pendidikan khas dari daerah Kuala Muda/Yan dan daerah Baling/Sik Kedah. Modul TTT ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu untuk kemudahan pengaplikasian di sekolah kebangsaan. Kesahan isi kandungan modul telah dijalankan oleh pakar, Munsyi Dewan serta pemilik modul. Tahap pengetahuan guru tentang autisme, sebelum dan selepas sesi bengkel Modul TTT diperkenalkan, telah dinilai melalui Ujian Pengetahuan Autisme (UPA). Selain itu, temu bual juga telah dijalankan untuk mengetahui tahap pengetahuan responden tentang autisme. Analisis ujian pra menunjukkan tahap pengetahuan responden boleh dikategorikan kepada tiga kategori, iaitu paling tinggi, sederhana dan paling rendah. Walau bagaimanapun, secara amnya, ketiga-tiga kategori tersebut masih berada di tahap yang rendah berdasarkan peratusan yang direkodkan dibawah 50.0%. Analisis ujian pra dan ujian pos menunjukkan kesemua responden merekodkan peningkatan dalam ketiga-tiga konstruk yang terkandung dalam UPA. Min peratusan peningkatan untuk konstruk pengetahuan, strategi dan komunikasi bagi kesemua responden, masing-masing adalah 53.3, 59.4 dan 55.7. Dapatan analisis temu bual pula mencadangkan bahawa pengetahuan responden tentang autisme boleh dikelaskan kepada 2 kategori berbeza, iaitu mempunyai pengetahuan umum tentang autisme, dan sebaliknya sangat kurang pengetahuan tentang autisme. Senarai semak kekerapan penggunaan strategi komunikasi telah digunakan untuk merekod penggunaan strategi komunikasi guru dengan murid autisme sebelum dan selepas bengkel tentang Modul TTT diperkenalkan. Tambahan, sesi temu bual turut diadakan untuk mengetahui apakah strategi komunikasi yang digunakan sebelum sesi bengkel dan juga kesan penggunaan Modul TTT dalam versi bahasa Melayu untuk mengalakkan murid autisme berkomunikasi. Dapatan menunjukkan, sebelum sesi bengkel, hanya responden E menggunakan kesemua strategi komunikasi (a,e,i,o,u). Secara keseluruhan, selepas sesi bengkel, dapatan menunjukkan terdapat 3 strategi yang dominan, iaitu strategi (a,e,o) yang mampu memulakan komunikasi murid autisme. Kesemua responden mencatatkan peratusan kekerapan penggunaan strategi (a,e,o) yang tinggi iaitu, Guru A (65.3%); Guru B (58.9%); Guru C (64.6%); Guru D (50.1%); Guru E (56.4%) dan Guru F (62.4%). Analisis temu bual pula menunjukkan sebelum sesi bengkel, tiada strategi yang berkesan dan berasaskan bukti telah digunakan oleh kesemua responden. Disamping itu, Modul TTT juga telah meningkatkan keberkesanan strategi berkomunikasi guru dengan murid autisme. Secara keseluruhannya, dapatan kajian menunjukkan Modul Teach-Talk-Tool (TTT) versi bahasa Melayu dalam latihan guru adalah berkesan untuk meningkatkan pengetahuan dan penggunaan strategi guru berkomunikasi dengan murid autisme.
Description
Keywords
Kekurangan guru pendidikan khas di Malaysia , yang berpengetahuan tentang autisme.
Citation