Kesan Pengajaran Dialogik Terhadap Kemahiran Menaakul Saintifik, Kemahiran Berhujah Dan Pencapaian Sains Dalam Kalangan Murid Sekolah Rendah

Loading...
Thumbnail Image
Date
2015-08
Authors
CHE AMAT, FAZLIZA
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Abstract
Ilmu yang bersandar kepada kekuatan daya fikir perlu ditanam dalam sistem pendidikan. Kriteria utama untuk mencapai status pendidikan bertaraf dunia adalah proses pengajaran dan pembelajaran yang menekankan penguasaan murid untuk menaakul. Justeru, guru-guru seharusnya diberi pendedahan tentang strategi-strategi pengajaran yang boleh meningkatkan kemahiran menaakul dan berhujah berasaskan bukti semasa proses pembinaan pengetahuan baharu. Kajian ini bertujuan untuk mengkaji kesan pengajaran dialogik ke atas kemahiran menaakul saintifik, kemahiran berhujah dan penguasaan konsep sains dalam kalangan murid-murid sekolah rendah. Soal selidik, teknik pemerhatian dan analisis dokumen telah digunakan bagi menentukan perubahan pada pemboleh ubah bersandar. Soal selidik Ujian Penaakulan Saintifik Lawson telah digunakan bagi mengukur perubahan pada kemahiran menaakul saintifik. Ujian Berhujah digunakan untuk mengukur kebolehan murid berhujah berasaskan bukti dan Ujian Pencapaian Sains bagi mengukur kefahaman konsep-konsep sains. Seramai 180 murid sekolah rendah Tahun Lima daripada dua buah sekolah rendah terlibat sebagai sampel kajian. Gabungan pendekatan kuantitatif dan kualitatif digunakan dalam kajian ini. Analisis ANCOVA dan ANOVA telah dijalankan untuk menentukan perubahan dalam pemboleh ubah bersandar. Dapatan menunjukkan terdapat perubahan yang signifikan bagi kemahiran menaakul saintifik, kemahiran berhujah dan pencapaian sains antara kumpulan rawatan dan kawalan. Darjah kekuatan hubungan (effect size) antara pendekatan pengajaran dan min skor ujian pos adalah berada tahap kuat bagi kemahiran berhujah dan pencapaian sains. Dapatan pemerhatian dalam bilik darjah bagi kumpulan rawatan menunjukkan terdapat perubahan dari segi komunikasi dalam kelas. Murid lebih berani menjawab soalan, pembelajaran berlaku lebih aktif dan murid dapat memberi bukti atau alasan yang kukuh bagi setiap kesimpulan yang dibuat. Rawatan yang diberi berjaya mengubah tingkah laku murid untuk memberi alasan untuk setiap penyataan yang dibuat. Dapatan analisis dokumen terhadap soalan struktur berhujah menunjukkan terdapat perubahan dari segi membuat kesimpulan (dakwaan), memberi bukti yang menyokong kesimpulan dan memberi alasan alasan yang menunjukkan hubungan antara kesimpulan yang dibuat dengan data yang digunakan. Dapatan kualitatif dapat menyokong dapatan kuantitatif terhadap peningkatan kemahiran menaakul saintifik dan kemahiran berhujah murid. Analisis penulisan refleksi murid terhadap pengajaran dialogik menunjukkan murid memberi pandangan yang positif tentang pengajaran guru. Justeru, boleh disimpulkan bahawa pengajaran dialogik merupakan suatu strategi pengajaran yang berkesan dalam meningkatkan kemahiran menaakul saintifik, kemahiran berhujah dan pencapaian sains murid.
Description
Keywords
Kesan Pengajaran Dialogik Terhadap Kemahiran Menaakul Saintifik, Kemahiran Berhujah , Dan Pencapaian Sains Dalam Kalangan Murid Sekolah Rendah
Citation