Penilaian Sifat Kepimpinan Sultan Melaka Dalam Sulalat Us - Salatin Berdasarkan Teori Ketua Negara Sempurna Al-Farabi

Loading...
Thumbnail Image
Date
2015-10
Authors
Ibrahim, Aishah
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Abstract
Kebelakangan ini pergolakan yang melibatkan negara-negara Islam kian meruncing. Rakyat melakukan pemberontakan akibat terpaksa menanggung derita daripada sikap pemimpin yang mengetepikan nilai keadilan, tidak amanah, mengamalkan rasuah dalam pemerintahan dan pentingkan kemewahan sehingga kebajikan rakyat terabai. Hakikatnya Islam telah meletakkan garis panduan yang jelas dalam pemerintahan. Al-Quran dan as-Sunnah juga merupakan peninggalan yang paling berharga untuk dirujuk. Tidak cukup dengan itu banyak pemikiran tokoh politik dan sejarah tokoh pemimpin cemerlang boleh dijadikan teladan. Namun, pemimpin sekarang ibarat lupa akan perkara ini. Mereka memimpin mengikut hawa nafsu dan kesannya rakyat menanggung derita. Inilah permasalahan yang perlu diberi perhatian dan kesedaran akan realiti yang terjadi menyebabkan kajian tentang kepimpinan harus dihasilkan. Dalam konteks Malaysia, sistem pemerintahan raja berpelembagaan diamalkan. Sistem pemerintahan sultan bermula daripada warisan Kesultanan Melayu Melaka. Jika diteliti sejarah sultan-sultan Melaka banyak memaparkan kisah-kisah kepimpinan yang boleh dijadikan iktibar dalam masyarakat. Untuk itu pemikiran tokoh falsafah Islam, al-Farabi (870-950) yang membincang tentang teori ketua negara sempurna telah diguna sebagai kayu ukur untuk menilai sifat-sifat kepimpinan sultan Melaka dalam Sulalat us- Salatin. Penilaian ini yang menjadi tujuan utama kajian dapat memberi gambaran jelas tentang sultan Melaka dan kepimpinan mereka. Kajian kepustakaan dan teknik analisis kandungan telah diguna untuk membaca dan meneliti dokumen sejarah, Sulalat us-Salatin, dan karya utama al-Farabi, Mabadi’ Ara’ Ahl Al- Madina Al-Fadila. Dapatan yang diperoleh menunjukkan bahawa sifat kepimpinan memang mempengaruhi perjalanan sesebuah negara dan keadaan masyarakatnya. Al-Farabi telah mengenal pasti dua belas sifat ketua negara sempurna, dan bagi beliau, ketua negara yang memiliki sifat sempurna akan melahirkan negara sempurna di mana rakyatnya akan berada dalam keadaan sejahtera dan bahagia. Kajian mendapati empat sultan Melaka, iaitu Sultan Muhammad Syah (1424-1444), Sultan Muzaffar Syah (1446-1456), Sultan Mansur Syah (1456-1477) dan Sultan ‘Alauddin Ri’ayat Syah (1477-1488) melepasi lima daripada dua belas sifat ketua negara sempurna al-Farabi; dan ternyata di bawah pemerintahan mereka, Melaka berada dalam keadaan aman dan makmur. Zaman kemuncak adalah di bawah kepimpinan Sultan Mansur Syah yang memiliki paling banyak sifat daripada dua belas sifat tersebut. Sebaliknya negara akan hancur jika pemimpin gagal memiliki sifat ketua negara sempurna seperti yang ditonjolkan oleh Sultan Mahmud Syah (1488-1511) di mana kesultanan Melaka menjadi lemah dan akhirnya jatuh kepada kuasa Portugis pada tahun 1511. Dari sini jelas pemikiran al-Farabi ada kebenarannya dan wajar diambil sebagai panduan dalam melahirkan ketua negara sempurna bagi mengatasi pergelutan politik di negara-negara Islam masa kini.
Description
Keywords
Sultan Melaka , Sulalat Us - Salatin
Citation