Pembelajaran Berasaskan Masalah Dan Amalan Pembelajaran Arah Kendiri Ke Arah Perubahan Kefahaman Murid Tingkatan Enam Dalam Konsep Genetik

Loading...
Thumbnail Image
Date
2016-02
Authors
Nasir, Maimunah
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Universiti Sains Malaysia
Abstract
Kajian ini adalah satu kajian kes eksploratori yang dijalankan untuk meneroka potensi pembelajaran berasaskan masalah dalam mengubah kefahaman murid tingkatan 6 dalam konsep genetik dan mengesan amalan pembelajaran arah kendiri semasa murid menjalani pembelajaran berasaskan masalah. Konsep-konsep genetik yang terlibat dalam kajian ini ialah konsep asas genetik Mendel dan konsep modifikasi genetik Mendel. Kajian ini telah dijalankan di sebuah sekolah menengah harian biasa di daerah Kuala Muda / Yan, Kedah. Sebanyak 7 modul PBM berdasarkan 7 konsep utama dalam genetik iaitu 2 konsep asas genetik Mendel dan 5 konsep modifikasi genetik Mendel telah dibina. Instrumen- instrumen kajian ini ialah ujian diagnostik dua-aras genetik yang dibina oleh Tsui dan Treagust (2010), temu bual, latihan murid, catatan nota murid, pemerhatian dan catatan penilaian kendiri murid. Analisis data dilakukan secara kuantitatif dan kualitatif. Dapatan kajian menunjukkan terdapat dua pola perubahan kefahaman murid tingkatan 6 dalam genetik iaitu pola perubahan yang negatif dan pola perubahan yang positif. Pola-pola perubahan kefahaman yang negatif selepas pembelajaran berasakan masalah ialah daripada tidak mengingat konsep, tidak mempunyai pengetahuan tentang konsep dan mempunyai miskonsepsi dalam konsep genetik telah berubah menjadi miskonsepsi dan tidak memahami konsep. Pola perubahan kefahaman ini dipengaruhi oleh amalan pembelajaran arah kendiri yang dikesan semasa murid menjalani pembelajaran berasaskan masalah. Murid yang mengambil bahagian dengan aktif semasa sesi perbincangan dan pembelajaran arah kendiri akan menjalani semua proses pembelajaran berasaskan masalah iaitu mengenal pasti masalah, mengaitkan masalah dengan pengetahuan sedia ada, menjana idea dan isu-isu pembelajaran, mensintesis dan mengaplikasi. Murid membina kefahaman sendiri semasa mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber dan semasa sesi perbincangan. Murid yang tidak menunjukkan amalan pembelajaran arah kendiri seperti tanggungjawab terhadap pembelajaran sendiri, pemantauan dan pengurusan kendiri dan pengembangan pembelajaran gagal membina motivasi untuk memahami konsep-konsep genetik. Sebaliknya, murid yang mempamerkan semua elemen amalan pembelajaran arah kendiri telah menunjukkan pola kefahaman yang positif bagi kebanyakan konsep genetik. Pola-pola perubahan kefahaman yang positif ini termasuklah daripada tidak mengingat konsep, tidak mempunyai pengetahuan tentang konsep dan mempunyai miskonsepsi dalam konsep genetik telah berubah menjadi kefahaman saintifik. Pengembangan amalan pembelajaran arah kendiri dalam diri murid Tingkatan 6 semasa mereka melaksanakan pembelajaran berasaskan masalah dapat membina motivasi instrinsik untuk memahami konsep secara terarah kendiri.
Description
Keywords
Pembelajaran
Citation