Hubungan Antara Pelibatan Ibu Bapa Dan Sikap Murid Terhadap Pemahaman Bacaan Bahasa Tamil Dalam Kalangan Murid India Sekolah Menengah

Loading...
Thumbnail Image
Date
2021-05
Authors
Suberamaniam, Arthiletchemy
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Universiti Sains Malaysia
Abstract
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap keupayaan bahasa ibunda, khususnya dari segi pemahaman bacaan Bahasa Tamil dalam kalangan murid India Malaysia. Selain itu, kajian ini juga melihat hubungan antara keupayaan Bahasa Tamil dengan dua faktor iaitu faktor sosiologi daripada aspek pelibatan ibu bapa di rumah dan faktor psikologi daripada aspek sikap murid terhadap bacaan. Kajian ini menggunakan reka bentuk kajian kausal komparatif jenis retrospektif, melibatkan 455 orang murid yang terdiri daripada murid India tingkatan empat di SMK di daerah Kuala Muda/Yan, Kedah. Pemahaman bacaan murid diuji dengan menggunakan satu set Ujian Pemahaman Bacaan yang mengandungi 36 soalan aneka pilihan yang terdiri daripada 18 soalan untuk ujian pemahaman bacaan teks naratif dan 18 soalan untuk ujian pemahaman bacaan teks ekspositori. Bagi kedua-dua teks naratif dan teks ekspositori, 9 soalan terdiri daripada soalan tersurat dan 9 soalan lagi terdiri daripada soalan tersirat. Pelibatan ibu bapa diukur melalui 8 item yang diubah suai daripada instrumen oleh PISA (2015), manakala sikap murid terhadap bacaan diukur dengan menggunakan 20 item yang diubah suai daripada instrumen McKenna dan Kear (1990). Data yang dikumpul dianalisis secara deskriptif (frekuensi, peratusan, min dan sisihan piawai) dan inferensi (Ujian-t dan analisis ANOVA dua hala). Dapatan kajian menunjukkan bahawa keupayaan Bahasa Tamil, iaitu pemahaman bacaan murid India berada pada tahap sederhana (Gred C). Walaupun keupayaan murid dalam pemahaman bacaan soalan tersurat (yang lebih mudah) adalah lebih baik daripada pemahaman bacaan soalan tersirat, skor pemahaman bacaan teks naratif murid adalah sama dengan skor pemahaman bacaan teks ekspositori (yang lebih sukar). Hasil kajian ini juga menunjukkan bahawa terdapat hubungan antara keupayaan pemahaman bacaan Bahasa Tamil dengan pelibatan ibu bapa dalam kalangan murid India, manakala tiada hubungan signifikan antara keupayaan pemahaman bacaan Bahasa Tamil dengan sikap murid terhadap bacaan. Hubungan antara keupayaan Bahasa Tamil dengan pelibatan ibu bapa tidak bergantung kepada sikap murid terhadap bacaan iaitu tidak ada kesan interaksi antara pelibatan ibu bapa dengan sikap murid terhadap bacaan. Secara umum, kajian ini menunjukkan bahawa keupayaan pemahaman bacaan Bahasa Tamil dalam kalangan murid India boleh ditinggkatkan lagi, khususnya dalam kalangan mereka yang ibu bapa yang kurang terlibat terhadap pendidikan anak-anak. Ibu bapa perlu menyediakan persekitaran pembelajaran yang menyokong bacaaan dalam Bahasa Tamil di rumah seperti menyediakan bahan-bahan bacaan dalam bahasa Tamil, di samping menjadi suri teladan (role model) dengan menggunakan Bahasa Tamil di rumah. Kajian ini mengharapkan agar pelibatan ibu bapa di rumah berupaya untuk melestarikan malah mempertingkatkan penggunaan Bahasa Tamil sebagai bahasa ibunda dalam kalangan murid dan masyarakat India di Malaysia.
Description
Keywords
Education , Language
Citation