Keberkesanan Prinsip Isyarat Dalam Koswer Pembelajaran Realiti Maya Bagi Tajuk Pengurusan Jenazah Terhadap Pencapaian Dan Motivasi Murid Yang Berbeza Tahap Kecerdasan Ruang
Loading...
Date
2015-07
Authors
Ahmad, Awaatif
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Universiti Sains Malaysia
Abstract
Kajian ini bertujuan untuk mengkaji keberkesanan prinsip isyarat dalam koswer pembelajaran realiti maya bagi tajuk pengurusan jenazah dalam mata pelajaran Pendidikan Islam. Pengurusan jenazah adalah merupakan salah satu ibadah fardu kifayah dalam Islam, namun kajian lepas memperlihatkan tahap kemahiran murid dan masyarakat terhadap amalan ini masih di tahap sederhana. Golongan muda juga kurang melibatkan diri dalam amalan ini dan antara faktor yang dikenal pasti adalah disebabkan oleh kaedah pengajaran yang kurang berkesan. Selain daripada tajuk pengurusan jenazah yang tidak terdapat dalam sukatan Amali dan Perkara Asas Fardu Ain (PAFA) secara menyeluruh, guru juga didapati kurang menggunakan media pengajaran elektronik dalam menyampaikan pengajaran tajuk ini. Kajian ini melibatkan dua fasa iaitu fasa pembangunan koswer dan fasa rawatan. Pembangunan koswer ini menggunakan Model Reka Bentuk dan Pembangunan Pembelajaran Multimedia oleh Alessi dan Trollip. Selain itu, koswer ini juga mengintegrasikan penggunaan komponen-komponen dalam Persekitaran Pembelajaran Konstruktivis dan prinsip-prinsip dalam Teori Kognitif-Afektif Pembelajaran dengan Media serta mengaplikasikan penggunaan prinsip isyarat. Sampel kajian ini terdiri daripada 130 orang murid Tingkatan dua di empat buah sekolah yang dipilih secara rawak. Sampel dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu 63 orang murid bagi kumpulan eksperimen pertama dan 67 orang murid lagi bagi kumpulan eksperimen kedua. Kumpulan eksperimen pertama menggunakan koswer realiti maya tanpa mengaplikasikan prinsip isyarat (VRTI) dan kumpulan eksperimen kedua menggunakan koswer realiti maya dengan mengaplikasikan prinsip isyarat (VRDI). Kajian ini dilakukan selama tiga minggu. Dapatan Ujian ANCOVA sehala (hipotesis pertama hingga ke-10) dan Ujian ANOVA sehala (hipotesis ke-11 hingga ke-20) menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan dalam pencapaian ujian pasca terhadap kumpulan murid yang menggunakan koswer VRDI terhadap keempat-empat pemboleh ubah bersandar iaitu tahap ingat kembali, tahap kenal pasti, tahap pemindahan pengetahuan (amali) dan tahap persepsi motivasi murid berbanding dengan kumpulan murid yang menggunakan koswer VRTI. Begitu juga terdapat perbezaan kesan di antara koswer bagi kedua-dua mod persembahan dengan Tahap kecerdasan ruang terhadap ke empat-empat pemboleh ubah bersandar tersebut kecuali pada hipotesis kedua, ketiga, ketujuh, ke-12, ke-17 dan ke-18 yang menunjukkan tiada kesan perbezaan yang signifikan. Secara keseluruhannya, adalah dicadangkan bahawa pembelajaran menggunakan koswer realiti maya dengan mengaplikasikan prinsip isyarat sesuai digunakan dalam pengajaran mata pelajaran Pendidikan Islam bagi tajuk pengurusan jenazah untuk meningkatkan tahap ingat kembali, tahap kenal pasti, tahap pemindahan pengetahuan (amali) dan tahap persepsi motivasi murid. Dapatan kajian ini juga memberi sumbangan kepada bidang kajian yang menggunakan prinsip isyarat terhadap tahap pemindahan pengetahuan (amali) dan tahap persepsi motivasi murid kerana berdasarkan tinjauan yang telah dilakukan masih belum terdapat kajian yang dilakukan ke atasnya.
Description
Keywords
Pengurusan jenazah