Undang-Undang Pentadbiran Zakat Di Aceh Dan Negeri Kedah : Satu Kajian Perbandingan

Loading...
Thumbnail Image
Date
2012
Authors
., Anwar
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Universiti Sains Malaysia
Abstract
Baitulmal di Aceh dan Jabatan Zakat Negeri Kedah ditubuhkan untuk menguruskan kutipan dan agihan zakat umat Islam. Secara tidak langsung ia juga telah membantu pihak kerajaan di dalam menangani masalah-masalah sosial yang dialami umat Islam, seperti kemiskinan atau ekonomi, kesihatan dan pendidikan. Namun, zakat yang dikumpulkan terutama di Aceh belum sepertimana yang diharapkan. Oleh itu, objektif kajian yang perlu dikaji di dalam penelitian ini adalah menyelidik sejarah pengurusan zakat dalam Islam. Kajian juga bertujuan untuk mengkaji perkembangan undang-undang pentadbiran zakat dan menyelidik perbandingan pentadbiran zakat di Aceh dan Kedah. Dalam mencapai tujuan yang digariskan, penyelidikan dilakukan secara lapangan dan kepustakaan. Kajian ini menggunakan dokumen dan temubual. Data-data dan maklumat yang diperolehi akan ditafsirkan melalui tiga metod iaitu Metod Induktif, Metod Deduktif dan Metod Komparatif. Kajian mendapati bahawa zakat mesti diurus oleh kerajaan, meskipun muzakkī dibenarkan untuk menyerahkan secara langsung zakat harta batinnya kepada mustaḥīq, seperti yang berlaku pada zaman Khalifah Uthmān. Tetapi sekiranya muzakkī tidak mengeluarkan zakat harta batinnya dan perkara ini diketahui oleh kerajaan, maka kerajaan berhak mengambil harta zakat muzakkī ini secara paksa. Selanjutnya kajian juga mendapati bahawa undang-undang dan qanun-qanun yang berhubungan dengan zakat di Aceh telah mengalami perkembangan seperti U.U. No. 44/1999 tentang Keistimewaan Aceh dalam pelaksanaan Syari’at Islam sehingga masyarakat Aceh dapat melaksanakan Syari’at Islam secara kaffah. Kemudian undang-undang No. 18/2001 tentang Autonomi Khusus Aceh dengan segala aturan pelaksanaannya dalam bentuk qanun, peraturan Gabenor, Instruksi Gabenor dan Keputusan Gabenor; bahawa zakat diurus oleh Baitulmal. Selanjutnya U.U.No. 11/2006 tentang Pemerintahan Aceh dan Qanun Aceh No. 10/2007 tentang Baitulmal, semakin memperkuat kedudukan Baitulmal sebagai satu-satunya institusi yang mempunyai kuasa mengurus zakat di Aceh. Sementara dapatan di Kedah, sejak digubalnya Enakmen Zakat tahun 1374 H (1955 M) sampai sekarang ini telah mengalami dua kali perubahan dalam bentuk peraturan-peraturan zakat dengan enam kali pindaan. Kajian juga mendapati, bahawa perolehan dan agihan zakat lebih banyak di JZNK berbanding Baitulmal Aceh, walaupun JZNK hanya khusus mengurus harta zakat sahaja. Perkara ini disebabkan pengurusan harta di JZNK lebih khusus berbanding Baitulmal Aceh. Para pegawai pula bekerja sepenuh masa, manakala para pegawai di Baitulmal Aceh sebahagian besar bekerja separuh masa. Selanjutnya undang-undang zakat di Kedah sudah digubal sejak tahun 1955, manakala undang-undang zakat di Aceh baru digubal pada tahun 2004. Begitu juga, undang-undang zakat di Kedah sudah pernah dikuatkuasakan, manakala undang-undang zakat di Aceh belum pernah dikuatkuasakan. Jadi, muzakkī tidak gentar dengan hukuman yang hanya tersebut di dalam undang-undang zakat itu kerana ia tidak dikuatkuasakan.
Description
Keywords
Undang-undang pentadbiran zakat , di aceh dan negeri kedah
Citation