Konsep Pengurusan Kualiti Makanan Halalan Tayyiban
Loading...
Date
2017-08
Authors
Dahlal, Norazilawati
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Universiti Sains Malaysia
Abstract
Konsep pengurusan kualiti makanan halalan tayyiban (PKMHT) muncul akibat isu kebersihan dan keselamatan makanan dengan mengaplikasikan konsep halalan tayyiban yang diperkenalkan oleh Islam. Antara isunya ialah pencemaran kualiti makanan (food adulteration) yang disebabkan pengusaha ingin mengaut keuntungan berlebihan. Salah laku ini melibatkan perlanggaran syariat Islam seperti penggunaan sumber bahan yang tidak halalan tayyiban. Bagi mengatasinya, PKMHT telah mengaplikasikan standard internasional di samping standard halal. Aplikasi ini dikatakan memberi impak yang lebih signifikan serta mematuhi kualiti daripada aspek syariah dan teknikal di samping dapat mencapai kebolehpasaran produk makanan halalan tayyiban di peringkat tempatan dan global. Oleh itu, timbul persoalan apakah konsep PKMHT masa ini tidak menyeluruh sehingga berlakunya isu integriti tanpa penyelesaian yang jitu? Sebagai mekanisme pengurusan pembangunan berteraskan Islam (PPBI) melalui aplikasi konsep halalan tayyiban, bagaimanakah konsep PKMHT yang ideal menurut ajaran Islam? Atas dasar ini, kajian ini dilakukan dengan menganalisis konsep PKMHT masa ini menurut asas falsafah PPBI iaitu tasawur, epistemologi, ontologi dan aksiologi Islam. Tesis ini mengandungi tiga objektif utama. Pertama, mengenal pasti konsep PKMHT masa ini. Kedua, menganalisis konsep PKMHT menurut tasawur, epistemologi, ontologi dan aksiologi Islam. Ketiga, merumuskan konsep PKMHT yang ideal berdasarkan tasawur, epistemologi, ontologi dan aksiologi Islam. Dengan menggunakan reka bentuk grounded theory, kajian ini dibahagikan kepada dua fasa iaitu fasa kajian empirikal dan fasa kajian teoretikal. Bagi fasa pertama, kajian dilakukan dengan mendapatkan data primer melalui temu bual bersemuka dengan informan pakar terpilih. Fasa kedua pula melibatkan data kajian dokumen daripada sumber sekunder berkaitan PKMHT. Dengan menggunakan kaedah analisis kandungan kualitatif serta instrumen analisis Atlas.ti Versi 8.0 (PAV8), kajian ini dapat menjawab keseluruh persoalan kajian yang ditetapkan. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa konsep PKMHT masa ini tidak mengaplikasi keseluruhan elemen yang terkandung dalam konsep halalan tayyiban sehingga menjadi punca kepada berlakunya isu-isu integriti dalam industri makanan halalan tayyiban. Sementara prinsip yang ditekankan dalam PKMHT masa ini hanyalah melibatkan prinsip pertama dan ketiga yang terhad kepada elemen fizikal dan teknikal. Oleh itu, penganalisisan secara teoretikal ke atas konsep PKMHT menurut tasawur, epistemologi, ontologi dan aksiologi Islam dilakukan. Hasil analisis membuktikan konsep PKMHT yang ideal dapat dibentuk dengan mengambil kira keseluruhan aspek fizikal dan spiritual serta elemen material dan supernatural. Akhir sekali, konsep PKMHT yang ideal menurut tasawur, epistemologi, ontologi dan aksiologi Islam dapat dilaksanakan sebagaimana yang diperincikan dalam ketujuh-tujuh prinsip PKMHT menurut konsep halalan tayyiban. Prinsip tersebut ialah sifat makanan yang dibenarkan syariat Islam (P1); sumber perolehan makanan yang baik (P2); makanan yang berkualiti, selamat dan bersih (P3); patuh kepada perintah dan larangan Allah SWT (P4); tidak berlebih-lebihan atau melampaui batas (P5); implikasi akhlak dan spiritual yang baik (P6); dan matlamat kesejahteraan dunia dan akhirat (P7).
Description
Keywords
Konsep pengurusan kualiti , makanan halalan tayyiban