Analisis Tahap Penjanaan Pengetahuan, Pola Tingkah Laku Mendengar Dan Corak Interaksi Pelajar Dalam Forum Perbincangan Asinkroni
Loading...
Date
2016-04
Authors
Durairaj, Kamalambal
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Universiti Sains Malaysia
Abstract
Forum perbincangan asinkroni merupakan salah satu pendekatan pembelajaran yang digunakan bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran atas talian. Namun, sejauh mana penglibatan dan interaksi peserta forum dalam persekitaran ini sering menjadi pertanyaan. Kajian ini bertujuan mengukur tahap penyertaan dan tahap penjanaan pengetahuan (TPP) pelajar dalam satu forum perbincangan asinkroni. Bagi tujuan tersebut, kajian ini menggunapakai pendekatan kuantitatif dengan tiga kaedah analisis yang berbeza. Analisis kandungan digunakan bagi menyiasat TPP, analisis kluster bagi melihat pola tingkah laku mendengar (tahap interaksi/ tahap membaca dan memberi maklum balas) serta analisis rangkaian sosial bagi melihat corak interaksi mereka dalam forum berkenaan. TPP pelajar dilihat dengan menggunakan Model Analisis Interaksi, IAM oleh Gunawardena, Lowe dan Anderson (1997) yang merangkumi lima fasa. Sementara itu, pola tingkah laku mendengar pelajar diukur menggunakan empat domain utama dengan 10 pemboleh ubah, manakala corak interaksi pelajar dianalisis menggunakan tujuh pemboleh ubah. Seterusnya, kajian ini juga melihat hubungan antara TPP dengan analisis rangkaian sosial. Sejumlah 40 orang pelajar siswazah dari sebuah universiti awam di Malaysia terlibat dalam kajian ini. Mereka dibahagikan secara rawak kepada tiga kumpulan perbincangan, di mana Kumpulan A terdiri daripada 13 peserta, Kumpulan B seramai 14 peserta dan Kumpulan C seramai 13 peserta. Setiap kumpulan diberikan satu topik perbincangan, dan mereka diberi tempoh selama dua minggu untuk membincangkan topik tersebut. Dapatan TPP menunjukkan tahap pemikiran peringkat tinggi pelajar dapat dilihat pada 46 mesej yang dihantar (55.41%) yang melibatkan Fasa III (berunding makna atau membina pengetahuan bersama), Fasa IV (pengujian dan pengubahsuaian terhadap sintesis yang dicadang atau pembinaan bersama), dan Fasa V (penyataan persetujuan / aplikasi makna yang baru dibina) dari model IAM. Sementara itu, sebanyak 37 mesej pula (44.58%) melibatkan tahap pemikiran rendah pelajar, iaitu meliputi Fasa I (perkongsian /membandingkan maklumat), dan Fasa II (penemuan dan penerokaan yang bercanggah atau pendapat antara pelajar yang tidak konsisten), berdasarkan model berkenaan. Seterusnya, bagi pengukuran pola tingkah laku mendengar Kumpulan A dan B merekodkan empat kluster, manakala Kumpulan C dengan tiga kluster. Kluster bagi setiap kumpulan tersebut berbeza dari segi empat domain utama iaitu sempadan waktu, keluasan skop, kedalaman skop dan percakapan. Analisis rangkaian sosial pula menunjukkan nilai kepadatan (tahap interaksi secara keseluruhan dalam forum) bagi Kumpulan A ialah 0.26 (rendah), Kumpulan B ialah 0.46 (sederhana) dan Kumpulan C pula ialah 0.15 (rendah). Selain itu, pendekatan analisis ini dapat mengenalpasti 20 peserta terpencil dengan 18 daripadanya juga merupakan peserta berisiko, seterusnya tiga pemimpin maklumat serta 11 peserta perantara. Akhir sekali, tiada hubungan signifikan yang wujud antara TPP dengan rangkaian sosial yang terbina bagi Kumpulan A dan C. Bagi Kumpulan B pula, tiada hubungan signifikan yang wujud antara TPP dengan darjah pemusatan masuk dan pemusatan perantaraan. Tetapi, terdapat hubungan negatif yang sederhana dan signifikan antara TPP dengan darjah pemusatan, darjah pemusatan keluar dan pemusatan eigenvektor bagi Kumpulan B. Juga, Kumpulan B juga menunjukkan terdapat hubungan positif yang sederhana serta signifikan antara TPP dengan pemusatan keakraban. Secara keseluruhannya, kajian ini menunjukkan pendekatan kolaboratif melalui perbincangan forum atas talian boleh digunakan bagi menyiasat TPP, interaksi serta sumbangan pelajar dalam persekitaran forum tersebut.
Description
Keywords
Penjanaan pengetahuan