Tingkah Laku Devian Pelajar Etnik India Di Sekolah Menengah Dalam Daerah Kinta, Perak
Loading...
Date
2016-09
Authors
Sandra Segaran, Dhanabalan
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Abstract
Statistik menunjukkan peningkatan kes pelajar etnik India dalam aktiviti devian secara drastik di negeri Perak dari tahun 2010 hingga 2012. Pelajar etnik India yang bermasalah disiplin adalah sebanyak 21.3% berbanding dengan 14.2% populasi keseluruhan etnik India bersamaan dengan nisbah satu (1) pelajar bermasalah disiplin bagi setiap sembilan (9) orang pelajar etnik India. Bagi tujuan kajian ini, penyelidik menggunakan teori ikatan sosial sebagai panduan untuk mengenal pasti faktor sosial yang menjadi penyumbang kepada penglibatan remaja etnik India dalam aktiviti devian. Objektif kajian ini adalah untuk memahami faktor-faktor sosial yang boleh mempengaruhi seseorang pelajar etnik India untuk bertingkah laku devian. Antara faktor yang diteliti adalah faktor teladan ibu bapa/ penjaga, faktor hubungan responden dengan ibu bapa, rakan dan guru, faktor komitmen terhadap sekolah, faktor penglibatan terhadap aktiviti sosial/ kemasyarakatan dan faktor kepercayaan terhadap agama/ nilai moral. Untuk tujuan kajian ini, penyelidik menggunakan teknik pensampelan tujuan (purposive sampling) dengan menggunakan kaedah pengumpulan sampel melalui borang soal selidik kepada pelajar dan sesi temu bual terhadap ibu bapa/ penjaga dan guru disiplin. Selain itu, penyelidik menggunakan kaedah kajian keratan lintang secara kuantitatif. Daripada 65 buah sekolah menengah di daerah Kinta, Perak, penyelidik telah memilih 9 buah sekolah menengah harian. Responden kajian yang terlibat adalah n=301 responden etnik India dan daripada jumlah tersebut seramai 158 (52.5%) responden dilaporkan tidak terlibat dengan perlakuan devian. Manakala
seramai 143 (47.5%) responden adalah dari kalangan yang terlibat dengan perlakuan devian. Seramai 20 orang ibu bapa dan 9 orang guru disiplin juga merupakan responden kajian ini. Dapatan kajian menunjukkan, perlakuan pelajar etnik India amat dipengaruhi oleh teladan ibu bapa/ penjaga berbanding faktor hubungan, komitmen, penglibatan dan kepercayaan. Perkara ini dapat dilihat melalui penemuan korelasi Cramer's V yang menunjukkan bahawa faktor teladan mempunyai nilai korelasi sederhana V=0.300. Manakala selebihnya mempunyai nilai korelasi yang lemah iaitu penglibatan V=0.226, kepercayaan V=0.208, komitmen V=0.153 dan nilai korelasi yang sangat lemah bagi faktor hubungan V=0.140. Oleh yang demikian, penyelidik berpendapat bahawa teori ikatan sosial kurang sesuai untuk digunakan sebagai elemen kawalan sosial terhadap responden etnik India dari terlibat dalam aktiviti devian di negeri Perak khususnya di daerah Kinta.
Description
Keywords
Memahami faktor-faktor sosial yang boleh mempengaruhi seseorang pelajar etnik India , untuk bertingkah laku devian.