Kajian Kes Penilaian Pelaksanaan Kursus Tamadun Islam Dalam Kalangan Pelajar Bukan Islam Di Politeknik Zon Tengah
Loading...
Date
2014-07
Authors
Selamat, Abu Zarrin
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Universiti Sains Malaysia
Abstract
Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk menilai keberkesanan kursus Tamadun Islam ke atas pelajar bukan Islam dalam konteks perubahan pemikiran, sikap dan tingkah laku. Aspek penilaian yang menjadi fokus dalam kajian ini ialah berkaitan kerelevanan di antara Matlamat Kursus Tamadun Islam Politeknik dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mendasari sistem pendidikan politeknik Malaysia. Fokus kajian ini juga adalah untuk melihat persepsi pelajar bukan Islam terhadap kursus Tamadun Islam di samping untuk mengkaji peranan persekitaran, modul kursus Tamadun Islam dan strategi pengajaran pensyarah terhadap pelajar bukan Islam. Aspek lain yang menjadi fokus kajian ini adalah untuk mengkaji faktor-faktor yang menghalang keberkesanan kursus Tamadun Islam ke atas pelajar bukan Islam selain untuk melihat pencapaian kursus Tamadun Islam dari aspek perubahan pemikiran, sikap dan tingkah laku pelajar ke atas bukan Islam. Kajian ini merupakan kajian kes yang menggunakan pendekatan campuran di antara kualitatif yang disokong oleh pendekatan kuantitatif. Data-data dikumpul melalui teknik Delphi, temu bual pelajar, temu bual pensyarah, pemerhatian, analisis dokumen dan soal selidik pelajar. Responden kajian ini ialah pelajar bukan Islam dan pensyarah yang terlibat dengan proses pengajaran dan pembelajaran kursus Tamadun Islam di politeknik zon tengah Semenanjung Malaysia. Data-data kualitatif dianalisis secara deskriptif dengan menggunakan kaedah pengkodan secara manual sementara data-data kuantitatif pula dianalisis dengan menggunakan perisian SPSS versi 17.0. Dapatan kajian dalam dimensi Konteks menunjukkan wujudnya kerelevanan di antara Matlamat Kursus Tamadun Islam di Politeknik dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Dapatan kajian dalam dimensi Input yang melibatkan tiga elemen yang dinilai pula mendapati skor min yang diperoleh adalah tinggi pada perubahan pemikiran, sikap dan tingkah laku. Sementara dapatan kajian dalam dimensi Proses iaitu melibatkan dua elemen yang diukur juga menunjukkan skor min yang diperolehi adalah tinggi pada perubahan pemikiran, sikap dan tingkah laku. Dapatan kajian dalam dimensi yang terakhir pula iaitu dimensi Produk menunjukkan bahawa kursus Tamadun Islam merupakan modul yang berjaya merubah corak pemikiran, sikap dan tingkah laku pelajar bukan Islam ke arah yang lebih positif terhadap Islam, umat dan tamadunnya. Justeru, kajian ini membuktikan bahawa kursus Tamadun Islam masih lagi relevan untuk diaplikasikan di dalam sistem politeknik Malaysia. Implikasi kajian ini disasarkan kepada pihak pengurusan tertinggi politeknik, pensyarah dan para pelajar agar memandang berat terhadap kursus Tamadun Islam yang boleh dijadikan sebagai medium perpaduan rakyat berbilang kaum seperti di Malaysia.
Description
Keywords
Pelaksanaan kursus tamadun islam , dalam kalangan pelajar bukan islam