Tasawur Pembangunan Dalam Al-Qur’an: Kajian Tafsir Al-Mawdu‘Iy
Loading...
Date
2012-05
Authors
Hanapi, Mohd Shukri
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Universiti Sains Malaysia
Abstract
Pembangunan lazim (PL) dan pembangunan berteraskan Islam (PBI) merupakan dua perkara yang berbeza. PL terbina daripada tasawur lazim, manakala PBI pula terbina daripada tasawur Islam. Jika begitu, apakah PL sesuai diadaptasi dan diguna pakai untuk pembangunan di negara-negara umat Islam? Apakah ia boleh menyelesaikan masalah-masalah berkaitan Islam? Berdasarkan permasalahan inilah kajian ini cuba mengkaji tasawur PBI. Ia dilakukan berdasarkan al-Qur’an secara tafsir al-mawdu‘iy untuk mencapai tiga objektif kajian. Pertama, mengenal pasti ayat-ayat tasawur pembangunan dalam al-Qur’an. Kedua, menganalisis tasawur pembangunan berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an yang telah dikenal pasti secara tafsir al-mawdu‘iy. Ketiga, membina tasawur pembangunan berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an yang telah dikenal pasti itu. Untuk mencapai kesemua objektif ini, kajian kualitatif yang berbentuk penerokaan dan deskriptif ini mengguna pakai kaedah analisis pensejarahan dan kaedah analisis kandungan. Analisis pensejarahan dilakukan untuk menganalisis peristiwa-peristiwa yang menjadi sebab penurunan sesuatu ayat. Kaedah analisis kandungan pula dilakukan untuk mengenal pasti, mengumpul dan menganalisis makna ayat-ayat al-Qur’an berkaitan tasawur pembangunan. Kedua-duanya disesuaikan dengan kaedah tafsir al-mawdu‘iy. Hasilnya, kajian ini dapat menemukan ayat-ayat tasawur pembangunan dalam al-Qur’an. Kesemua ayat ini ada menjelaskan tentang salah satu daripada tiga elemen asas tasawur iaitu Allah SWT sebagai Pencipta, manusia sebagai makhluk, dan sumber alam juga sebagai makhluk. Setelah ayat-ayat tersebut dianalisis, dapat dirumuskan enam elemen konsep tasawur pembangunan dalam al-Qur’an iaitu al-tawhid (keesaan Allah), al-‘ubudiyyat
(pengabdian diri/beribadah kepada Allah), khalifat fi al-ard (khalifah di muka bumi), mawarid al-tabi‘i (sumber alam), al-azminat – ‘alam al-ruh, ‘alam al-dunya wa ‘alam al-akhirat (tempoh masa – alam roh, alam dunia dan alam akhirat), dan mardat Allah (keredhaan Allah). Elemen tunjang kepada elemen-elemen konsep tasawur pembangunan ini ialah al-tawhid. Berasaskan kepada keenam-keenam elemen konsep tasawur pembangunan dalam al-Qur’an inilah, tasawur PBI itu dibina.
Description
Keywords
Tasawur pembangunan , dalam Al-qur’an