Modul Pembelajaran Integrasi Stem Forensik Dalam Meningkatkan Pemikiran Kritis Dan Kreativiti Saintifik Murid Sekolah Menengah Merentas Jantina
Loading...
Date
2020-03
Authors
Aris, Noor Fadzilah
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Universiti Sains Malaysia
Abstract
Kajian ini bertujuan untuk membangunkan dan menilai satu modul yang
dikenali sebagai Modul Pembelajaran Integrasi STEM berkontekskan Sains Forensik
(PISTEM Forensik) serta mengkaji keberkesanan penggunaan modul ini terhadap
pemikiran kritis dan kreativiti saintifik murid tingkatan empat. Kajian ini turut
mengkaji sama ada penggunaan PISTEM Forensik memberi kesan yang berbeza
terhadap tahap pemikiran kritis, tahap kreativiti saintifik dan pengekalan keduaduanya
berdasarkan jantina murid. Kajian ini juga cuba menentukan mungkinkah
kesan PISTEM Forensik ke atas tahap pemikiran kritis dan kreativiti saintifik adalah
lebih tinggi pada murid lelaki atau murid perempuan atau mungkin kesannya sama
untuk kedua-dua kumpulan. Kajian pembangunan modul ini mengaplikasikan reka
bentuk sistem instruksi menggunakan Model ASSURE sebagai landasan utama. Ia
terdiri daripada tiga peringkat berdasarkan langkah-langkah dalam Model ASSURE
iaitu peringkat pembangunan PISTEM Forensik, peringkat pelaksanaan PISTEM
Forensik dan peringkat penilaian pakar PISTEM Forensik. Reka bentuk eksperimen
kuasi satu kumpulan telah dijalankan dalam program selepas waktu sekolah di dua
buah sekolah menengah berbeza mengikut jantina yang dipilih dalam satu daerah yang
sama. Peserta terdiri daripada 31 pelajar lelaki dan 36 pelajar perempuan. Kajian ini
dijalankan di luar waktu sekolah; justeru itu ia tidak memerlukan kumpulan kawalan.
Eksperimen kuasi telah dilakukan untuk menilai kesan penggunaan modul PISTEM
Forensik yang dibangunkan terhadap tahap pemikiran kritis, ketekalan pemikiran kritis, tahap kreativiti saintifik dan ketekalan kreativiti saintifik. Variabel moderator
dalam kajian ini ialah jantina murid. Data-data kuantitatif dikumpulkan melalui
instrumen ujian bertulis iaitu Ujian Pemikiran Kritis Cornell Tahap X (CCTT-X) yang
telah disahkan oleh pakar dalam bidang STEM dengan bacaan koefisien
kebolehpercayaan oleh Kuder-Richardson(KR-20) = 0.96 dan Ujian Kreativiti
Saintifik oleh Hu & Adey dengan kebolehpercayaan inter-rater; nilai Kappa = 0.767.
Dapatan daripada ujian statistik hipotesis nol dengan menggunakan ujian t-sampel
berpasangan dan ANCOVA satu-hala mendapati tahap pemikiran kritis dan kreativiti
saintifik bagi murid lelaki dan perempuan meningkat daripada ujian pra ke ujian pos.
Murid lelaki mempunyai skor pemikiran kritis dan kreativiti saintifik yang lebih tinggi
daripada murid perempuan. Di samping itu, dapatan daripada ujian statistik hipotesis
nol dengan menggunakan ujian ANCOVA dengan pengukuran berulang mendapati
kedua-dua murid lelaki dan perempuan mengekalkan skor pemikiran kritis dan
kreativiti saintifik kerana dapatan menunjukkan tidak terdapat perbezaan signifikan
antara skor dalam ujian pos dan ujian pos lanjutan. Keseluruhannya, kajian ini
menunjukkan bahawa modul PISTEM Forensik memberi kesan positif terhadap tahap
pemikiran kritis dan kreativiti saintifik dan pengekalan pemikiran kritis dan kreativiti
saintifik murid lelaki dan murid perempuan. Ini membuktikan bahawa intervensi
kajian ini berkesan dalam meningkatkan kemahiran pemikiran kritis dan kreativiti
saintifik bagi kedua-dua kumpulan jantina murid namun murid lelaki lebih mendapat
manfaat daripada intervensi modul yang diberikan. Implikasi, kesimpulan, saranan dan
cadangan seperti program latihan inovatif guru sains untuk pedagogi seimbang-jantina
STEM dalam persekitaran pembelajaran konstruktivisme melalui pendekatan PISTEM
Forensik selepas waktu sekolah bagi pembelajaran sains telahpun dibuat.
Description
Keywords
Education