Perubahan Ukuran Antropometri, Profil Lipid, Leptin Serum Dan Glukosa Darah Di Kalangan Orang Dewasa Obes Dalam Program Penurunan Berat Badan Di Kelantan

Loading...
Thumbnail Image
Date
2010-10
Authors
Che Mat, Mat Ludin
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Universiti Sains Malaysia
Abstract
Diet rendah kalori dan lemak beserta senaman terancang dan berterusan dipercayai boleh mengawal berat badan dan dapat mengurangkan kandungan profil lipid, leptin serum dan glukosa darah yang juga merupakan faktor berisiko penyakit jantung dan diabetes bagi orang obes. Bagaimana pun tahap keberkesanan kaedah ini terhadap penduduk Asia termasuk Malaysia tidak jelas kerana citarasa pemakanan dan gaya hidup serta pemikiran mereka berbeza daripada budaya Barat. Kajian berbentuk eksperimentalkuasi ini bertujuan untuk menilai perubahan ukuran antropometri, profil lipid, leptin serum dan glukosa darah sebelum dan selepas 12 minggu intervensi program penurunan berat badan di kalangan orang dewasa obes dengan menggunakan pendekatan kaunseling diet sihat (rendah lemak dan gula, serta tinggi kandungan serat) dan senaman terancang (joging dan senamrobik). Seramai 67 responden (kajian, n= 42, kawalan, n=25) dari Negeri Kelantan telah menyertai program ini setelah memenuhi kriteria kemasukan dan penolakan. Semasa intervensi responden telah melakukan senamrobik selama 30 minit setiap pagi dan joging sejauh 2 kilometer setiap petang serta diberi kaunseling berkaitan diet sihat di dalam menu harian mereka dan dipantau selama 12 minggu. Hasil kajian menunjukkan purata paras kolesterol total (TC), trigliserida (TG), kolesterol lipoprotin ketumpatan rendah, (LDL) dan kolesterol lipoprotin ketumpatan sangat rendah , (VLDL) responden kajian turun yang signifikan iaitu dari 5.44 ± 0.2, 1.47 ± 0.1, 3.60 ± 0.2, 0.64 ± 0.7 mmol/L kepada 5.20 ± 0.1, 1.34 ± 0.1, 3.30 ± 0.2, 0.61 ± 0.6 mmol/L (p< 0.004, p<0.033, p<0.035, p=0.338), manakala paras kolesterol lipoprotin ketumpatan tinggi, (HDL) menunjukkan peningkatan yang signifikan iaitu dari 1.16 ± 0.1 kepada 1.24 ± 0.1 mmol/L (p<0.001) selepas 12 minggu intervensi berbanding responden kawalan yang hampir tidak berubah. Purata berat badan, nilai IJT, peratusan lemak tubuh, dan glukosa darah juga menunjukkan penurunan masing-masing sebanyak 4.0 kg, 1.7 kg/m2, 1.7%, dan 0.6 mmol/L berbanding responden kawalan yang meningkat sedikit. Paras leptin serum responden kajian juga menunjukkan penurunan yang signifikan (p<0.001) iaitu sebanyak 10.2 ng/mL selepas 12 minggu intervensi berbanding responden kawalan yang hampir tidak berubah.
Description
Keywords
Senaman terancang dan berterusan boleh mengawal berat badan , mengurangkan kandungan profil lipid, leptin serum dan glukosa darah
Citation