Pembinaan Bank Item Matematik Tingkatan Satu Melalui Prosedur Penggabungan Ujian Menggunakan Model Rasch

Loading...
Thumbnail Image
Date
2021-02
Authors
Shamsuddin, Hasni
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Universiti Sains Malaysia
Abstract
Pembinaan bank item merupakan satu proses yang rumit, kompleks dan perlu mengambil kira pelbagai isu praktikal dan teknikal, terutamanya dalam menggabungkan ujian-ujian yang berbeza agar berada dalam satu skala yang sama. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk menghasilkan bank item matematik Tingkatan 1 menggunakan kerangka pengukuran model Rasch yang mengkaji pelbagai aspek praktikal seperti kesesuaian dan kestabilan item rujukan, pemilihan teknik transformasi skala sebelum penggabungan dan pemilihan kaedah penggabungan yang sesuai. Isu teknikal yang merujuk kepada prosedur yang perlu dipatuhi mengikut standard yang telah ditetapkan, diatasi dengan mematuhi langkah-langkah kawalan dalam perlaksanaan kajian ini. Sebanyak 10 ujian matematik Tingkatan 1 yang mengandungi item aneka pilihan dan kredit separa telah dibina dan ditadbir kepada 1292 orang murid tingkatan 1 daripada 10 buah sekolah menengah di Pulau Pinang. Ujian-ujian ini digabungkan berpandukan reka bentuk item rujukan kumpulan berbeza menggunakan pengukuran model Rasch. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa, bagi penggabungan berasingan (1) statistik robust z lebih sesuai untuk menilai kestabilan item rujukan berbanding scatterplot dan prosedur 0.3 logits dan (2) kaedah penyetaraan min lebih sesuai untuk meletakkan kesemua item di atas skala yang sama berbanding kaedah mean/sigma. Perbandingan kaedah penggabungan pula mendapati, (3) penggabungan serentak lebih sesuai digunakan untuk menggabungkan ujian berbanding penggabungan berasingan. Sebanyak 423 item yang mempunyai bukti psikometrik yang berkualiti telah diperihalkan melalui profil item. Profil item yang disusun mengikut bidang pembelajaran, bab, standard kandungan dan standard pembelajaran Matematik Tingkatan 1 dapat memberi manfaat kepada guru dalam menjalankan pentaksiran matematik dan merangka strategi dalam pengajaran. Kajian ini telah membuktikan kemampuan pengukuran menggunakan Model Rasch dalam mencirikan item dan menggabungkan ujian secara serentak untuk membina bank item. Malahan kajian ini turut membuktikan pelan penggabungan dan reka bentuk item rujukan kumpulan berbeza sesuai untuk menghasilkan bank item format bercampur dan boleh dijadikan panduan dalam pembinaan bank item yang lain.
Description
Keywords
Education
Citation