Penentu Pembayaran Zakat Pendapatan Di Institusi Pendidikan Tinggi Swasta Di Jakarta, Indonesia

Loading...
Thumbnail Image
Date
2021-05
Authors
Doktoralina, Caturida Meiwanto
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Universiti Sains Malaysia
Abstract
Potensi perolehan kutipan zakat di Indonesia masih belum optimum. Peningkatan kutipan zakat oleh institusi zakat masih belum sepenuhnya melibatkan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) di Indonesia. Justeru selain individu yang berpengetahuan, pensyarah bersijil pendidik (PBP) sepatutnya lebih memahami faktor keagamaan, terutamanya dalam perkara yang wajib seperti zakat. Selain itu, PBP juga menerima insentif wang daripada pemerintah setara dengan gaji pegawai pemerintah setiap bulan. Apatah lagi, tidak banyak kajian atas faktor-faktor yang mempengaruhi Pembayaran Zakat (PZ) di IPTS Jakarta dengan menggunakan konstruk Pendapatan (PD), Insentif Pensijilan (INs) dan Kepatuhan Agama (KPA) berdasarkan perspektif Islam. Kajian ini menumpukan kepada tiga objektif. Pertama, mengenal pasti konsep PZ dalam kalangan PBP yang bekerja di IPTS di Jakarta, Indonesia. Kedua, menganalisis faktor-faktor PZ dalam kalangan PBP yang bekerja di IPTS di Jakarta, Indonesia. Ketiga, merumuskan faktor-faktor PZ dalam kalangan PBP yang bekerja di IPTS di Jakarta, Indonesia. Ketiga-tiga objektif kajian ini dicapai dengan menggunakan kaedah kuantitatif melalui reka bentuk penjelasan dan deskriptif. Bagi mengumpulkan data kajian, pengkaji menggunakan kaedah kajian dokumen, temu bual dan pengedaran soal selidik. Dengan menggunakan teknik pensampelan bertujuan, data dianalisis dengan menggunakan perisian Statistical Package for Social Sciences (SPSS) dan AMOS Version 25. Soal selidik yang telah disahkan oleh enam orang pakar, kemudiannya diedarkan kepada 450 orang responden PBP dan seramai 361 yang layak dianalisis. Dapatan objektif kajian pertama ialah membentuk konsep PZ yang berdasarkan faktor PD, INS dan KPA. Hasilnya 12 dimensi utama dibina berdasarkan perspektif Islam iaitu keperluan daruriyah, keperluan hājiyyah, keperluan tahsiniyah, pengetahuan, kontrak kerja, pampasan, kepercayaan, perlakuan ibadah wajib, perlakuan ibadah sunah, derma, pematuhan pentadbiran dan kepatuhan teknikal. Dapatan objektif kedua pula menunjukkan PD tidak berpengaruh langsung terhadap PZ. INs berpengaruh terhadap PZ dan terakhir KPA berpengaruh terhadap PZ. Oleh itu, bagi menentukan apakah kepatuhan agama sebagai pemboleh ubah mediator dalam hubungan antara faktor-faktor yang mempengaruhi PZ, kaedah ujian tidak langsung dilakukan. Hasilnya, KPA kurang berperanan sebagai mediator dalam PZ. Dapatan kajian menunjukkan walaupun kurang berperanan, KPA sebagai mediator dalam mempengaruhi PZ boleh disahkan. Dapatan kajian objektif ketiga, secara teoretikal kajian teori keperluan Islam dapat menjadi pegangan utama motivasi dalam membayar zakat. Terdapat empat implikasi kajian secara empirikalnya faktor PD yang dikonsepsikan bersumberkan Islam. Pertama ialah keperluan daruriyah, keperluan hājiyah dan keperluan tahsiniyah. Kedua, faktor INs iaitu pengetahuan, kontrak kerja dan pampasan. Ketiga, faktor KPA iaitu dimensi kepercayaan, perlakuan ibadah wajib dan perlakuan ibadah sunah. Keempat, faktor Pembayaran Zakat iaitu derma, pematuhan pentadbiran dan kepatuhan teknikal. Konsep ini menjelaskan terdapat motivasi PZ-PBP di IPTS Jakarta kerana adanya dorongan peranan KPA. Secara praktikal kajian ini bermanfaat bagi pihak Badan Amil, Zakat, Infak dan Sedekah (BAZNAS) di Indonesia kerana memberikan maklumat berkaitan peranan KPA yang relevan digunakan sebagai matlamat peningkatan kutipan zakat dan kaedah pembayaran zakat.
Description
Keywords
Zakat
Citation