Kepimpinan Beretika Guru Besar, Kesejahteraan Organisasi Dan Pengupayaan Guru Di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil

Loading...
Thumbnail Image
Date
2016-07
Authors
Somasundaram, Ananthan
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Abstract
Kajian ini bertujuan untuk mengkaji pengaruh kepimpinan beretika guru besar dan pengupayaan guru terhadap kesejahteraan organisasi di SJKT. Secara khususnya, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti (1) tahap kepimpinan beretika guru besar, pengupayaan guru dan kesejahteraan organisasi di SJKT, (2) perbezaan kesejahteraan organisasi di SJKT berdasarkan gred dan lokasi sekolah, (3) pengaruh kepimpinan beretika guru besar terhadap kesejahteraan organisasi dan pengupayaan guru, (4) pengaruh pengupayaan guru terhadap kesejahteraan organisasi di SJKT, dan (5) pengaruh moderasi pengupayaan guru terhadap hubungan antara kepimpinan beretika guru besar dengan kesejahteraan organisasi di SJKT. Seramai 554 orang guru dari 98 buah SJKT telah terlibat sebagai responden dalam kajian ini yang dipilih secara rawak dari tiga buah negeri di Utara Semenanjung Malaysia (Pulau Pinang, Kedah Darul Aman dan Perak Darul Ridwan). Data dari responden diperoleh melalui satu set soal selidik yang terdiri daripada empat bahagian. Soal selidik kepimpinan beretika terjemahan daripada Tengku Badrul (2012) digunakan untuk mengenal pasti perlakuan kepimpinan beretika guru besar di SJKT. Seterusnya, soal selidik terjemahan pengupayaan guru oleh Abd Latif bin Kasim (2004) digunakan untuk mengukur pengupayaan guru. Seterusnya bagi mengukur kesejahteraan organisasi pula, soal selidik terjemahan daripada Hoy (2003) digunakan. Kesemua data yang diperoleh dianalisis dengan menggunakan unit analisis sekolah. Dapatan kajian menunjukkan kepimpinan beretika, pengupayaan guru, dan kesejahteraan organisasi berada pada tahap sederhana tinggi. Keputusan kajian juga turut menunjukkan bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan kesejahteraan organisasi di SJKT berdasarkan gred dan lokasi sekolah. Seterusnya, kepimpinan beretika guru besar didapati mempunyai pengaruh yang signifikan terhadap kesejahteraan organisasi dan pengupayaan guru di SJKT. Sementera itu, kajian juga turut menunjukkan pengupayaan guru mempunyai pengaruh yang signifikan ke atas kesejahteraan organisasi di SJKT. Kajian juga mendapati terdapat pengaruh moderasi pengupayaan guru ke atas hubungan antara kepimpinan beretika guru besar dan kesejahteraan organisasi di SJKT. Secara spesifik, dimensi membuat keputusan pengupayaan guru merupakan variabel yang paling banyak muncul sebagai moderator dalam kajian ini. Sementara itu, dimensi kepimpinan beretika guru besar yang paling banyak dipengaruhi oleh variabel moderator adalah dimensi keadilan, berorientasi kemanusiaan, keprihatinan terhadap kemampanan dan penjelasan peranan. Akhir sekali, didapati dimensi kesejahteraan organisasi yang paling banyak mempunyai impak dari pengaruh moderasi pula adalah integriti institusi, penekanan akademik, pengaruh sumber, dan kepimpinan keserakanan. Kesimpulannya, dapatan kajian ini tidak menafikan sumbangan kepimpinan beretika guru besar dan pengupayaan guru terhadap kesejahteraan organisasi di SJKT. Sebaliknya kajian ini menjelaskan cara guru besar boleh menggunakan faktor moderator (pengupayaan guru) untuk mengukuhkan lagi kepimpinan beretika dalam usaha untuk meningkatkan kesejahteraan organisasi di SJKT.
Description
Keywords
Kepimpinan beretika guru besar dan pengupayaan guru , terhadap kesejahteraan organisasi di SJKT.
Citation