Perbandaran Lestari Islam: Kajian Di Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (Mpkb-Bri), Kelantan

Loading...
Thumbnail Image
Date
2021-03
Authors
Aziz, Syaidatana Siti Aishah Ab
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Universiti Sains Malaysia
Abstract
Perbandaran penting sebagai proses pembangunan kawasan bandar khususnya dari segi perkembangan ekonomi dan infrastruktur. Perbandaran menyebabkan berlaku tumpuan terhadap kawasan bandar yang seterusnya memberi implikasi positif dan negatif termasuk kesan ke atas ekonomi, sosial dan alam sekitar. Implikasi positif membolehkan pelbagai kemudahan disediakan dan implikasi negatif menyebabkan berlaku pencemaran, pengangguran dan kemiskinan. Ekoran daripada kesan negatif yang berlaku, perbandaran yang lestari dicadangkan sebagai satu solusi bagi memastikan perbandaran dapat dilaksanakan tanpa mengabaikan keperluan generasi kini dan akan datang. Namun, cadangan perbandaran lestari dikesan berhadapan dengan kelompongan pada nilai keagamaan dan spiritual. Justeru, perbandaran lestari Islam dilihat penting bagi memastikan pembangunan bandar yang menyeluruh serta seimbang antara pembangunan fizikal dan spiritual. Persoalannya, apakah perbandaran lestari Islam ini? Bagaimanakah perbandaran lestari Islam dapat dilaksanakan? Di Malaysia, satu-satunya majlis perbandaran yang mengiktiraf dirinya sebagai pentadbir bandar raya Islam ialah Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI). Justeru, konsep perbandaran Islam itu sendiri melibatkan pelaksanaan pembangunan yang bercirikan sejahtera dan tidak merosakkan. Secara tidak langsung pembangunan Islam yang dilaksanakan merupakan pembangunan lestari yang bersifat berterusan. Persoalannya, bagaimanakah kebolehlaksanaan perbandaran lestari Islam di MPKB-BRI? Bagi menjawab persoalan-persoalan di atas, tiga objektif dikemukakan. Pertama, mengenal pasti perbandaran lestari Islam. Kedua, menganalisis perbandaran di MPKB-BRI dalam mencapai perbandaran lestari Islam. Ketiga, merumuskan kebolehlaksanaan perbandaran lestari Islam di MPKB-BRI. Melalui reka bentuk kualitatif asas yang melibatkan pengumpulan data menerusi temu bual separa berstruktur dan analisis dokumen mendapati perbandaran lestari Islam mempunyai tiga ciri utama iaitu ciri kerohanian, ciri bukan fizikal dan ciri fizikal. Hasil penemuan ciri perbandaran lestari Islam membolehkan sembilan prinsip perbandaran lestari Islam disenaraikan yang terdiri daripada prinsip kerohanian, kepimpinan, kasih sayang, keadilan, kebajikan, keilmuan, kesejahteraan, kebersihan dan keindahan serta ketersampaian kemudahan. MPKB-BRI didapati menekankan lima prinsip utama iaitu prinsip keilmuan, kepatuhan, kebajikan, kebersihan dan kesejahteraan. Kesemua prinsip ini diterapkan dalam empat aspek pembangunan MPKB-BRI iaitu pembangunan pengurusan, insan, ekonomi dan fizikal. Hasil kajian ini memberi implikasi bahawa perbandaran lestari Islam dilihat mempunyai kebolehlaksanaan sama ada dalam perancangan mahupun pelaksanaan di MPKB-BRI. Namun, masih terdapat cabaran yang perlu diatasi bagi melaksanakan perbandaran lestari Islam secara menyeluruh dan komprehensif. Pelaksanaan perbandaran lestari Islam yang optimum memerlukan kerjasama kolektif antara MPKB-BRI serta masyarakat bandar yang menghuni kawasan tersebut.
Description
Keywords
Citation