Makam-Makam Diraja Perak: Sumbangannya Kepada Asal-Usul Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan Dan Pengaruh Aceh Di Negeri Perak

Loading...
Thumbnail Image
Date
2010-03
Authors
Suprayitno
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Universiti Sains Malaysia
Abstract
Satu kajian sistematik telah dijalankan di Negeri Perak, Riau, Aceh, dan Sumatera Utara, Indonesia dari Mei-Jun 2007, November 2007 dan Mac 2008 untuk menyelesaikan isu dan masalah pengasas Kesultanan Perak, pengaruh Aceh di Negeri Perak berdasarkan kajian pada batu nisan Aceh, kedudukan makam-makam Diraja Perak, dan asal-usul batu nisan Aceh. Pendekatan kajian ini bertujuan untuk menentukan asal-usul pengasas Kesultanan Perak berdasarkan makam-makam Diraja Perak. Kajian akan merangkumi pengenalpastian kawasan sumber batu nisan “batu Aceh”, kedudukan makam-makam Diraja Perak, dan pengaruh Aceh di Negeri Perak berdasarkan kajian pada batu nisan Aceh. Kajian di Perak, Kampar dan Pelalawan (Riau), Aceh dan Sumatera Utara dalam tahun 2007-2008 menggunakan method survei, kajian perpustakaan, dan analisis makmal yang melibatkan pelbagai disiplin dengan tujuan untuk menghasilkan data yang kukuh. Survei terhadap 43 tapak makam dan 551 batu nisan Aceh, di Aceh, Perak, Riau dan Sumatera Utara telah berjaya mendedahkan tipologi dan kronologi batu nisan Aceh terbaru yang meliputi 24 jenis dengan kod AS (Aceh Silinder) AB (Aceh Blok) dan AP (Aceh Pipih). Berdasarkan jumpaan di Kampar dan Tanah Abang dapat dikenal pasti bahawa pengasas Kesultanan Perak adalah Raja Muzafar, putera Sultan Mahmud Shah (Raja Melaka) yang mangkat di Kampar. Raja Muzaffar bukan dijemput untuk dirajakan di Perak oleh Orang-Orang Besar Perak, tetapi baginda diusir daripada Kampar oleh Orang-Orang Besar Kampar selepas kemangkatan Sultan Mahmud Shah. Raja Muzaffar kemudian berjuang menubuhkan Kesultanan Perak di Tanah Abang pada dekad ketiga abad ke-16 M bersama-sama dengan guru agama baginda dan putera baginda Raja Mansur. Sejak kerajaan Perak mulai ditubuhkan pada abad ke-16 sehingga akhir abad ke-19, kedudukan makam dan istana selalu terdapat di tebing sebelah timur Sungai Perak. Kajian ini menunjukkan bahawa hubungkait antara faktor ekonomi, politik, dan keamanan bukan menjadi punca utama daripada pemilihan sebuah lokasi untuk dijadikan sebuah komplek pemakaman Sultan Perak. Dasar-dasar filosofis sepertimana perjanjian antara Sultan Muzaffar Shah I dengan Tok Temong menjadi pertimbangan kepada Sultan Perak ke-1 sehingga Sultan Perak ke-27, untuk memilih tebing sebelah timur dijadikan istana dan sekaligus tapak makam.
Description
Keywords
Pengaruh Aceh di Negeri Perak , berdasarkan kajian pada batu nisan Aceh
Citation