Penyesuaian Peribadi, Pekerjaan (Bukan Teknikal) Dan Keluarga Eksekutif Ekspatriat Malaysia Yang Bekerja Dengan Syarikat Pembinaan Malaysia Di Negara Tamu
Loading...
Date
2012-06
Authors
Zainol, Halmi
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Universiti Sains Malaysia
Abstract
Beberapa syarikat pembinaan Malaysia sedang aktif di luar negara. Lazimnya, syarikat ini menghantar pekerja rakyat Malaysia ke sana untuk melaksanakan projek. Penyelidikan lampau telah menunjukkan kesukaran penyesuaian oleh ekspatriat bagi menghadapi suasana baru di negara tamu merupakan aspek utama yang mendorong kepada kegagalan dalam melaksanakan tugasan. Kajian yang dijalankan adalah untuk mengenal pasti pengaruh penyesuaian eksekutif ekspatriat ke atas tugasan di negara tamu. Objektif kajian adalah untuk mengenal pasti faktor pengaruh penyesuaian berkaitan peribadi, pekerjaan (bukan teknikal) dan keluarga; serta keperluan persediaan latihan sebelum keberangkatan. Borang soal selidik telah diedarkan kepada pengurus sumber manusia dan eksekutif ekspatriat Malaysia. Lima puluh tiga pengurus sumber manusia dan 64 eksekutif ekspatriat Malaysia dari syarikat pembinaan Malaysia di luar negara terlibat dalam penyelidikan ini. Analisis faktor telah mengurangkan 31 item kepada 26 item yang berkisar tiga dimensi, iaitu penyesuaian peribadi, pekerjaan (bukan teknikal) dan keluarga. Dua puluh enam item tersebut telah membentuk lapan faktor yang mempengaruhi penyesuaian ekspatriat, iaitu penyesuaian interaksi, umum, suasana persekitaran, suasana pekerjaan, kepuasan tugasan, ganjaran, suasana kehidupan dan adaptasi sosial. Penemuan menunjukkan di antara aspek persediaan latihan untuk ekspatriat dan keluarga adalah orientasi mengenai budaya, latihan sensitiviti, perhubungan sosial dan suasana pekerjaan diperlukan untuk menghadapi suasana persekitaran yang berbeza. Persediaan latihan oleh syarikat atau pihak konsultan yang dilantik bagi ekspatriat dan keluarga adalah satu langkah yang baik sebelum mereka berangkat ke negara tamu.
Description
Keywords
Penyesuaian peribadi, pekerjaandan keluarga eksekutif ekspatriat malaysia , yang bekerja dengan syarikat pembinaan malaysia di negara tamu