Kajian bioremediasi rumpai laut merah (Gracilaria changii) ke atas bahan buangan ternakan ikan tilapia Nile (Oreochromis niloticus) dan ikan siakap Asia (Lates calcarifer)
Loading...
Date
2011-07
Authors
Nor, Adibi Rahiman Md.
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Abstract
Kajian yang dijalankan adalah bagi menentukan keupayaan Gracilaria changii (rumpai
laut merah) bertindak sebagai agen bioremediasi di dalam kultur ikan tilapia Nile
(Oreochromis niloticus) dan ikan siakap Asia (Lates calcarifer). Kajian ini juga dijalankan
untuk menilai potensi mewujudkan sistem pengkulturan bersepadu antara ikan dan
rumpai laut bagi tujuan mengatasi pencemaran sisa buangan daripada aktiviti akuakultur.
Bagi tujuan tersebut, keupayaan G. changii membebaskan oksigen yang diperlukan oleh
ikan dan kebolehannya bertindak sebagai penapis NH4+, NO3- dan PO43- hasil bahan
kumuhan ikan serta jumlah keperluan oksigen oleh ikan ditentukan. Kebolehan G. changii
bertindak sebagai penapis bahan buangan tak organik daripada ikan kemudiannya
dibandingkan dengan keupayaan penapis tak organik oleh mikrob dalam Sistem
Akuakultur Kitar Semula (RAS). Hasil kajian mendapati bahawa ammonium (NH4+) adalah
merupakan sumber N yang lebih digemari oleh G. changii berbanding nitrat (NO3-).
Jumlah 50 μM NH4+-N yang dibekalkan setiap tiga hari adalah mencukupi untuk
menampung keperluan N untuk 1.0gbb hingga 5.0 gbb G .changii. Kadar Pertumbuhan
Spesifik bagi 1.0 gbb G. changii yang diberikan 50 μM NH4+-N adalah yang paling tinggi
dengan nilai 2.45 ± 0.78 %h-1 berbanding 1.92 ± 0.44 %h-1 bagi 5.0 gbb G. changii dan
0.52 ± 0.41 %h-1 bagi 20.0gbb G. changii. O. niloticus walau pun dikenali sebagai ikan
omnivorous, ia didapati tidak memakan G. changii dan didapati pengambilan oksigen
meningkat apabila diberi makanan dan menjadi lebih aktif. Keperluan ruang didapati lebih
penting bagi L. calcarifer berbanding kepekatan oksigen yang tinggi. Kadar kemandirian
L. calcarifer adalah rendah dalam akuarium yang mengandungi kepadatan G. changii
yang tinggi. Oleh itu ruang yang lebih diperlukan oleh L. calcarifer disebabkan sifat kanabalismenya yang tinggi. Hasil kumuhan L. calcarifer adalah menjadi penyumbang
sumber N kepada G. changii. Lebih banyak L. calcarifer (atau sedikit G. changii) di dalam
sistem polikultur, lebih tinggi peratus N (2.45%) di dalam tisu G. changii. Sistem ternakan
secara bersepadu antara G. changii dan O. niloticus didapati amat berkesan bagi
memelihara kualiti air. Kandungan nutrien dalam sistem ternakan bersepadu adalah lebih
rendah berbanding sistem monokultur ikan. G. changii dapat menyingkirkan sebanyak
67% TAN, 63% NO3--N dan 53% PO43--P dalam sistem ternakan bersepadu antara
O. niloticus dan G. changii. Kadar Pertumbuhan Spesifik (SGR) G. changii yang dikultur
bersama dengan O. niloticus lebih tinggi (1.71 %h-1) berbanding dengan G. changii yang
dikultur tanpa O. niloticus (0.72 %h-1). Dalam sistem monokultur keperluan oksigen oleh
1.0 g L. calcarifer (semasa keadaan bercahaya) dibekalkan oleh 1.9 gbb G. changii
(nisbah L. calcarifer:G. changii = 1:1.9) dan keperluan oksigen oleh 1.0 g O. niloticus
dibekalkan oleh 2.5 gbb G. changii (nisbah O. niloticus:G. changii = 1:2.5). Dengan
menggunakan nisbah ikan:rumpai laut, kandungan oksigen di dalam sistem polikultur
L. calcarifer: G. changii (1:1.9) adalah sebanyak 1.63 mgO2/kg/jam, manakala kepekatan
oksigen di dalam sistem polikultur O. niloticus:G. changii (1:2.5) adalah sebanyak 20.84
mgO2/kg/jam . G. changii didapati bertindak sebagai penapis biologi yang baik kerana ia
mampu mengurangkan kepekatan NH4+ dan juga mampu menyingkirkan fosfat (PO43-)
tiga kali lebih baik berbanding mikrob.
Description
Keywords
Natural History