Konsep Niat Berteraskan Islam Dalam Tingkah Laku Kepatuhan Zakat Pendapatan
Loading...
Date
2018-08
Authors
Khairul Bariyah Othman
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Universiti Sains Malaysia
Abstract
Zakat pendapatan merupakan satu ibadah yang mempunyai keistimewaan dan
keunikan dalam pelaksanaannya. Ia bukan sahaja ibadah yang mempunyai nilai
hubungan ketuhanan, malah merangkumi nilai kemanusiaan melalui aspek
muamalatnya. Oleh sebab ibadah zakat pendapatan ini merangkumi bidang ibadah
dan muamalah, fatwa mewajibkan ibadah ini diakui telah mewujudkan peningkatan
dalam jumlah kutipan dana zakat negara. Namun di sebalik peningkatan ini, setidaktidaknya
wujud tiga permasalahan utama yang sering dibincangkan dalam kalangan
sarjana-sarjana terdahulu hingga ke hari ini. Pertama ialah tentang aras kepatuhan
yang masih rendah dalam kalangan muzzaki di Malaysia. Kedua ialah kefahaman
terhadap kewajipan zakat pendapatan yang masih rendah. Ketiga iaitu kedudukan
niat dalam urusan ibadah zakat pendapatan yang memberi kelangsungan kepada
tingkah laku kepatuhan. Berdasarkan realiti ini, pelbagai kajian telah dijalankan bagi
merungkaikan permasalahan yang timbul. Namun kajian-kajian terdahulu banyak
didominasi oleh konsep-konsep niat dalam kepatuhan tingkah laku yang dibina
berteraskan falsafah lazim yang dibangunkan oleh sarjana Barat. Timbul persoalan,
setakat manakah komprehensifnya konsep niat yang diperkenalkan oleh teori-teori
lazim ini sesuai untuk diguna pakai dalam kajian kepatuhan ibadah seperti zakat
pendapatan dalam kalangan umat Islam? Adakah ia selari dengan tasawur Islam?
Sekiranya tidak, bagaimana konsep niat yang sesuai untuk digunakan dalam
merungkaikan isu niat ini. Justeru, kajian ini dilakukan adalah untuk mencapai tiga
objektif yang telah ditetapkan. Pertama, mengenal pasti konsep niat berteraskan Islam dalam tingkah laku. Kedua, menganalisis konsep niat berteraskan Islam dalam
tingkah laku kepatuhan zakat pendapatan. Ketiga, merumuskan konsep niat
berteraskan Islam dalam tingkah laku kepatuhan zakat pendapatan. Bagi mencapai
ketiga-tiga objektif tersebut, kajian kualitatif berbentuk penerokaan telah dijalankan
dalam dua fasa. Pertama, fasa kajian teoretikal yang tertumpu pada pengumpulan
data sekunder yang dianalisis menerusi analisis kandungan bagi menjawab objektif
pertama. Kedua, fasa kajian empirikal yang tertumpu pada pengumpulan data primer
menerusi instrumen sesi temu bual mendalam yang melibatkan sembilan informan
terpilih bagi menjawab objektif kedua dan ketiga. Maklumat temu bual dianalisis
dengan menggunakan perisian ATLAS.ti versi 7.5 dan kaedah analisis kandungan
dengan tiga peringkat. Analisis fasa pertama dapat mengenal pasti dua asas yang
menunjangi konsep niat berteraskan Islam dalam tingkah laku berasaskan al-Qur‟an
dan hadis Rasulullah SAW iaitu dimensi kehambaan (habl min Allah) dan dimensi
kekhalifahan (habl min al-nas). Dalam analisis fasa kedua pula, dapat diekstrak
penentu-penentu yang membentuk konsep niat berteraskan Islam dalam tingkah laku
kepatuhan zakat pendapatan. Penentu-penentu tersebut ialah ilmu, akidah, akhlak,
motivasi diri dan kualiti perkhidmatan. Secara keseluruhannya, hasil analisis
membuktikan konsep niat berteraskan Islam dalam tingkah laku kepatuhan zakat
pendapatan dapat dibentuk dan dirumuskan dengan mengambil kira keseluruhan
aspek epistemologi dan tasawur Islam sebagaimana yang telah diperincikan dalam
asas-asas dan penentu-penentu niat yang telah dibentuk.
Description
Keywords
Zakat