Jati Diri Murid Tahun Empat Daripada Perspektif Islam Berdasarkan Komponen Teori Kawalan Sosial
Loading...
Date
2013-07
Authors
Abdul Rahim, Rozana
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Universiti Sains Malaysia
Abstract
Kajian ini bertujuan mengenal pasti jati diri murid Tahun Empat dari perspektif Islam berdasarkan komponen Teori Kawalan Sosial. Aspek jati diri Islam terdiri daripada akidah, ibadah dan akhlak, manakala komponen Teori Kawalan Sosial adalah keterikatan, keterlibatan, komitmen dan kepercayaan. Aspek akidah merangkumi menyedari keagungan dan kebesaran Allah, mengingati Allah pada setiap masa, menyedari kewujudan Allah, pengucapan dua kalimah syahadah, amalan pengucapan syahadah dan pengertian ucapan syahadah. Aspek ibadah melihat pada ibadah solat fardhu yang merangkumi amali berwuduk dan mendirikan solat. Aspek akhlak dilihat pada perlakuan subjek dalam perkara berkaitan hak, amanah, janji, sabar dan malu. Kajian ini merupakan kajian kes berbentuk kualitatif dan dijalankan di sebuah sekolah kebangsaan di daerah Seberang Perai. Seramai empat orang murid lelaki beragama Islam terlibat sebagai subjek kajian. Subjek kajian terdiri daripada dua kategori murid, iaitu murid yang tiada masalah disiplin (TMD) dan murid yang ada masalah disiplin (AMD). Kajian ini menggunakan temu bual, pemerhatian dan analisis dokumen sebagai kaedah pengumpulan data. Dapatan kajian menunjukkan keempat-empat subjek kajian, sama ada yang tiada masalah disiplin atau yang ada masalah disiplin, tidak mempunyai jati diri menurut perspektif Islam. Sebagai cadangan, kajian ini mengemukakan dua cadangan, iaitu penggunaan Jadual Penilaian Jati Diri Murid Sekolah Rendah untuk menilai tahap jati diri murid. Selain itu, kajian ini juga memberikan cadangan untuk ibu bapa, guru dan masyarakat dalam membantu mewujudkan atau mengukuhkan jati diri anak-anak melalui pendekatan berdasarkan elemen fikir, emosi, tindakan dan hasil.
Description
Keywords
Jati Diri Murid Tahun Empat , Teori Kawalan Sosial