Pemupukan Waja Diri Kanak-Kanak Prasekolah
Loading...
Date
2011-05
Authors
Chee, Siew Lan
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Universiti Sains Malaysia
Abstract
Kajian ini bertujuan untuk meneroka proses pemupukan waja diri kanak-kanak
prasekolah melalui strategi pengajaran yang dijalankan oleh guru prasekolah. Sehubungan
itu, waja diri kanak-kanak prasekolah telah dikenal pasti berasaskan tiga faktor pelindung,
iaitu hubungan rapat, pengawalan diri dan daya usaha mengikut dua tempoh kajian
dijalankan, iaitu tempoh sebelum strategi pemupukan waja diri dijalankan dan tempoh
strategi pemupukan waja diri dijalankan. Dalam tempoh strategi pemupukan waja diri
dilaksanakan, strategi pemupukan waja diri yang sama telah dilaksanakan dalam dua
peringkat yang masing-masing mengambil masa lapan minggu. Selain itu, tindak balas
kanak-kanak prasekolah terhadap aktiviti-aktiviti pemupukan waja diri yang dilaksanakan
diteliti. Cara strategi pemupukan waja diri yang dapat meningkatkan waja diri kanak-kanak
prasekolah juga turut dikenal pasti.
Sejajar dengan tujuan kajian, kajian kes berbentuk kualitatif telah dilaksanakan
dengan berpandukan program yang telah diubah suai daripada Program Devereux Early
Childhood Initiative – DECI (Koralek, 1999) dan Projek Reaching In Reaching Out – RIRO
(Hall, 2003) mengikut konteks Malaysia. Data utama dikutip melalui pemerhatian enam
kanak-kanak prasekolah. Data lanjutan mengenai subjek kajian dikutip melalui temu bual
dengan guru, pembantu guru dan penjaga subjek kajian. Buku rekod peribadi dan rekod
perkembangan subjek kajian telah diteliti. Tatacara mengutip data bagi kajian ini diubah
suai daripada Program Devereux Early Childhood Assessment. Data dianalisis semasa dan
selepas pengumpulan data dengan berpandukan pendekatan oleh Boyatzis (1995), Mertens
(1998), Miles dan Huberman (1994).
Dapatan kajian menunjukkan bahawa strategi pemupukan waja diri boleh digunakan
untuk memupuk waja diri kanak-kanak prasekolah. Pada akhir peringkat kedua strategi
pemupukan waja diri dijalankan, waja diri semua enam subjek kajian dapat dipertingkatkan
dengan bertambahnya hubungan rapat antara subjek kajian dengan guru dan rakan;
pengawalan diri dan daya usaha subjek kajian juga meningkat.
Description
Keywords
Pemupukan waja diri kanak-kanak prasekolah , strategi pengajaran yang dijalankan oleh guru prasekolah