Ketidakseimbangan Fiskal Mendatar : Kesan Proses Dan Agihan Pemberian
Loading...
Date
2012-07
Authors
Abd Razak, Zauyah
Journal Title
Journal ISSN
Volume Title
Publisher
Universiti Sains Malaysia
Abstract
Kajian ini ialah kajian kes kualitatif bertujuan menjawab salah satu daripada persoalan dalam bidang federalisme fiskal iaitu mengapa jumlah pemberian yang diagihkan gagal merapatkan jurang ketidakseimbangan fiskal mendatar (ketidakseimbangan fiskal antara negeri). Empat buah negeri di utara Semenanjung Malaysia iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak telah dipilih sebagai kes kajian. Kajian ini menemui empat dapatan utama. Pertama, proses menentukan jumlah pemberian yang diagihkan kepada negeri-negeri bersifat rigid dan bertujuan untuk mencapai pelbagai matlamat dasar pemberian dan matlamat dasar negara Persekutuan; prosesnya tidak bertujuan untuk merapatkan jurang ketidakseimbangan fiskal mendatar. Kedua, kaedah agihan pemberian yang diamalkan bersifat amat telus, fleksibel dan amat berkesan tetapi terlalu stabil. Ketiga, kemampuan fiskal antara negeri di utara Semenanjung amat tidak seimbang. Keempat, bidang kuasa kewangan negeri-negeri di utara Semenanjung dalam melaksanakan peranan kewangan adalah terlalu terhad. Secara keseluruhan, dapatan kajian menunjukkan jumlah pemberian yang ditentukan melalui proses dan diagihkan melalui kaedah yang diamalkan hanya berjaya merapatkan jurang ketidakseimbangan fiskal di kalangan negeri yang kaya dan yang membangun sahaja iaitu Perak dan Pulau Pinang. Di kalangan negeri yang miskin iaitu Kedah dan Perlis, jumlah yang ditentukan dan agihannya hanya mampu mengurangkan jurang ketidakseimbangan fiskal. Kajian ini telah mengisi jurang kekurangan kajian yang dilaksanakan di Malaysia terhadap persoalan federalisme fiskal dan kekosongan analisis terhadap persoalan ketidakseimbangan fiskal mendatar daripada perspektif proses pembuatan keputusan operasi.
Description
Keywords
Ketidakseimbangan fiskal mendatar , proses dan agihan pemberian